Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026

PENAMPANG: Tamu Dongongon bakal berwajah baharu selepas dinaik taraf membabitkan peruntukan RM8.5 juta yang dijadual siap pada April 2026.

Ketika menlancarkan pembinaan semula tapak tamu itu, hari ini, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata reka bentuk bangunan tamu itu mengekalkan identiti tamu sedia ada.

Katanya, pembinaan semula tapak tamu itu yang akan dilengkapi kemudahan baharu untuk keselesaan peniaga dan pengunjung sudah lama dirancang tetapi tertangguh.

“Projek ini sudah sekian lama tertangguh dan saya jadikan ini sebagai satu keutamaan sebaik sahaja saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang pada hujung 2022.

“Kurang daripada dua bulan selepas dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, saya telah membawa Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Persekutuan Sabah bersama Pegawai Daerah Penampang dan jabatan-jabatan teknikal mengadakan lawatan ke Tamu Donggongon pada 13 Januari 2023.

“Saya telah meminta supaya peruntukan asal diteruskan dan perolehan dapat dipecepatkan. Ketua Pengarah pada ketika itu menurunkan semula surat kuasa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk memulakan proses perolehan.

“Beberapa bulan kemudian saya diberi taklimat mengenai reka bentuk projek yang melibatkan pembangunan bertingkat. Bagaimanapun, saya menyatakan pandangan, saya tidak bersetuju dengan reka bentuk ketika itu dan meminta supaya identiti Tamu Donggongon yang sedia ada dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan projek Pembinaan Semula Tamu Donggongon, di sini, pada Khamis.

“Hari ini projek pembangunan Tamu Donggongon dimulakan dengan reka bentuk baharu yang mengekalkan identiti dan ethos sedia ada.

“Dengan pelancaran pembinaan semula Tamu Donggongon pada hari ini, saya anggap sebahagian daripada manifesto pilihan raya saya iaitu memastikan apa yang tertangguh di Penampang dapat dimulakan, untuk konteks Tamu Donggongon ini, saya percaya ianya sudah selesai,” katanya.

Projek itu membabitkan keluasan 2,543 meter persegi merangkumi pelbagai fasiliti iaitu Pasar Kering (550 lot), Pasar Basah (36 lot), Pejabat Tamu Master dan Penguatkuasa serta Pondok Polis.

Turut disediakan ialah Tandas Awam (Lelaki, Perempuan dan OKU), Rumah Sampah, anjung tempat menurunkan penumpang, tempat letak kereta, pemunggahan, kemudahan untuk OKU dan laluan pejalan kaki berbumbung.

Selain itu turut dibina Mercu Pelancongan – Sabah Maju Jaya, I Love Tamu Donggongon dan Selamat Datang Ke Tamu Donggongon.

Ewon berharap projek itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan untuk manfaat rakyat Penampang.

“Saya sendiri akan memantau bersama semua pimpinan masyarakat dan usahawan Tamu Donggongon serta Pejabat Kerajaan di Penampang khususnya melalui platform Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Penampang.

“Kita memantau supaya projek ini dan projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan di Penampang dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pemantauan secara konsisten setiap bulan atau sekurang- kurangnya sekali dalam tempoh dua bulan oleh Majlis Tindakan Daerah Penampang,” katanya.

Ewon berkata Tamu Donggongon akan mengekalkan konsep sedia tetapi ditambah baik dari segi kemudahannya. – Info X