TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux di Batu 15, Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika remaja terbabit yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Perumahan Ranggu menuju ke Semporna.
“Manakala pemandu pikap seorang lelaki berusia 51 tahun dari ladang ternakan ayam di Quion Hill hendak ke Kampung Kinabutan.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu pikap keluar dari simpang Jalan Quion Hill lalu masuk ke lorong kanan tujuan hendak membuat pusingan ‘U’ telah dilanggar oleh penunggang motosikal yang berada di jalan lurus di bahagian tepi belakang sebelah kiri pikap berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, akibat kemalangan itu remaja terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika kejadian remaja terbabit sedang menunggu keputusan SPM dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan