TENOM: Pesta Kalimaran 2024 yang dianjurkan Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia pada penghujung minggu lalu meriah apabila ribuan orang hadir untuk sama-sama meraikannya di Pusat Kebudayaan Murut, di sini.
Walaupun dalam keadaan cuaca panas di bulan Ramadan, ia tidak menghalang para pengunjung untuk sama-sama menyaksikan serta menyertai pelbagai program yang diadakan.
Antara program yang diadakan termasuklah sukan rakyat, persembahan kebudayaan, gerai pameran tradisi subetnik Murut, upacara tolak bala, konsert Kalimaran, Butitin Kalimaran (pertandingan nyanyian), Ralaa Kalimaran (pertandingan ratu) dan banyak lagi.
Di samping itu juga, para pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan termasuklah motosikal, tiket penerbangan pergi balik ke luar negara, telefon pintar dan barangan elektronik.
Pesta yang disambut penuh warna warni budaya kaum Murut dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Mumin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya, Kamil berkata, Majlis Sambutan Pesta Kalimaran Tenom 2024 yg mana ini adalah merupakan satu inisiatif yang baik daripada KDM Malaysia untuk memastikan bahawa kegiatan dan juga aktiviti kebudayaan dapat diteruskan.
Katanya, ini sekali gus mengangkat tradisi kaum dan budaya khususnya masyarakat Murut yang berada di kawasan ini dengan harapan bahawa kegiatan-kegiatan begini akan diteruskan.
“Sehubungan dengan itu, melihat kepada usaha dan inisiatif oleh KDM Malaysia, Perdana Menteri telah memperuntukan sejumlah sumbangan daripada beliau sendiri sebanyak RM100,000.
“Sumbangan ini bagi sedikit sebanyak menampung kos dan juga keperluan KDM Malaysia bagi menyantuni masyarakat dan juga untuk kegiatan-kegiatan aktiviti Kebudayaan yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh KDM Malaysia.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Presiden KDM Malaysia Datuk Peter Anthony sekalu Pengerusi penganjur, Datuk Wetrom Bahanda dan ketua-ketua suku kaum Murut yang turut bersama dalam Pesta Kalimaran tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai penambahbaikan penganjuran Pesta Kalimaran, beliau berkata ia harus dilakukan daripada semasa ke semasa mungkin dalam skala yang lebih besar atau penyertaan yang lebih ramai dan promosi yang lebih hebat.
“Saya kira ini adalah satu keunikan dan juga tarikan yang harus diraikan dan dipromosikan dengan lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Peter berkata, beliau bersyukur dengan kehadiran begitu ramai pengunjung walaupun berada di bulan Ramadan.

“Rata-rata yang hadir ramai daripada saudara-saudara kita suku kaum Murut yang beragama Islam juga hadir untuk sama-sama meraihkan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudah mewakilkan saudara Kamil di dalam merasmikan Pesta Kalimaran 2024 peringkat daerah Tenom 2024,” katanya. –Info X
More Stories
Mesyuarat Jentera Pilihanraya UPKO N2 Bengkoka Fokus Persiapan Hadapi PRN17
Kerajaan dan Rakyat Sabah Jadi Sebahagian Kejayaan RMK13
Mayat ditemui di puncak bukit dipercayai rakan mangsa yang hilang