Robot ciptaan pelajar UMS bergerak di permukaan tidak rata di Gunung Kinabalu

Kota Kinabalu : Kelab Robotik Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah baharu apabila membawa robot ciptaan mereka yang boleh bergerak di permukaan tidak rata bagi mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu.

Inisiatif membawa robot itu adalah bagi meraikan ulang tahun penubuhannya UMS ke-30 dengan misi menawan puncak Gunung Kinabalu menerusi Program UMS Lambang Puncak Jaya yang diketuai Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Presiden Kelab Robotik UMS, Mohd Ghazali Shafie Mohd Razalie berkata, robot berbentuk kereta itu dicipta menggunakan varian empat roda bagi mekanisme suspensi rocker-bogie, iaitu versi ringkas daripada reka bentuk enam roda yang digunakan dalam Mars Rover yang dibangunkan oleh NASA dan agensi angkasa lain bagi membolehkannya bergerak di permukaan tidak rata.

“Sistem ini dipilih kerana keupayaannya yang cemerlang untuk merentasi permukaan lasak sambil mengekalkan kestabilan.

“Reka bentuk ini membolehkan pergerakan bebas di setiap sisi, memberikan keupayaan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan permukaan yang tidak rata dengan fleksibiliti yang luar biasa.

“Sistem ini mengagihkan beban secara sekata pada roda dan memastikan sentuhan yang konsisten dengan tanah, walaupun di permukaan yang mencabar, selain gerakan “rocking” membantu menyerap hentakan daripada halangan, meningkatkan prestasi di kawasan lasak,” katanya yang mengetuai cabaran mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu dengan robot ciptaan kumpulan pelajar FKJ.

Katanya, robot ciptaan tersebut lebih kos efektif, lebih ringan, dan mudah dibina serta ringan yang memudahkan mereka untuk mengangkut robot tersebut ke puncak gunung.

Terdahulu, Kasim tiba di puncak gunung kira-kira jam 6 pagi bersama-sama sekumpulan pelajar dari Kelab Robotik UMS.

Kasim bersama rombongan ekspedisi memulakan cabaran sekitar jam 9.50 pagi selepas acara pelepasan peserta di Timpohon Gate yang turut dihadiri Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Mohd. Raffie Janau; Pengarah Pusat Sukan, Ahmadi Nurdin; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris; dan Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS, Dr. Zaiton Mohamad.

Beliau yang tiba di Laban Rata pada jam 4.20 petang memulakan perjalanan ke puncak gunung seawal jam 2.45 pagi selepas bermalam dan tiba di puncak gunung kira-kira jam 6 pagi.

Program tersebut yang disertai oleh 30 orang staf dan pelajar UMS adalah simbolik kepada sambutan ulang tahun UMS ke-30 dan Majlis Konvokesyen UMS ke-26 yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Disember ini.

Antara yang mengiringi Kasim dalam cabaran ke puncak Gunung Kinabalu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Kamisan Pusiran; dan mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Sesi 2023/2024, Roslan Abdullah yang mengetuai kumpulan pelajar UMS.

Turut serta dalam misi tersebut adalah kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, anggota keselamatan, pasukan perubatan dari Hospital UMS, MPP Sesi 2023/2024, pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan (FKJ) yang terlibat dalam pembuatan robotik, atlet-atlet UMS yang pernah mewakili dan mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dua pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) serta seorang pelajar antarabangsa dari negara Jepun.

Program UMS Lambang Puncak Jaya diilhamkan oleh Bahagian Pembangunan Pelajar JHEP UMS sebagai inisiatif untuk menunjukkan warga UMS dengan pelbagai latar belakang bersama-sama melalui perjalanan mencabar dalam membangunkan universiti sehingga mampu meraih pelbagai bentuk pengiktirafan dan kecemerlangan. – SABAH MEDIA