KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM12.24 juta untuk menaik taraf kemudahan di Stadium Likas, termasuk trek larian yang menjadi venue Kejohanan Olahraga Belia Asia Tenggara (SEA) Ke-16 pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata selain untuk acara berprestij itu yang bermula hari ini hingga Sabtu ini, inisiatif menaik taraf kemudahan sukan adalah usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Ini adalah proses berterusan untuk semua kemudahan sukan di seluruh negeri supaya kemudahan-kemudahan ini kekal kondusif, selamat dan selesa untuk kegunaan atlet dan orang awam,” katanya dalam ucapan perasmian kejohanan berkenaan di Stadium Likas, malam ini.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin.
Turut hadir ialah Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Kesatuan Olahraga Sabah, Mohamat Hassan dan ketua-ketua persatuan olahraga yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.
Hajiji berkata, kedatangan lebih 500 atlet yang mewakili 11 negara Asia Tenggara, iaitu Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Timor Leste, Myanmar dan negara tuan rumah Malaysia, menambah makna serta kemeriahan kejohanan itu.
“Anda semua berada di sini untuk meraikan semangat atletisme, kerjasama berpasukan dan semangat persaingan sihat. Ia adalah peluang untuk semua atlet mempamerkan bakat mereka dan mencabar had diri.
“Ketika mereka bertanding, marilah kita memberikan sorakan kepada mereka semua, mengiktiraf usaha dan dedikasi mereka.
“Bagi para atlet, kejohanan seperti ini pastinya akan mengajar mereka pelajaran hidup penting seperti kerjasama berpasukan, ketabahan, dan rasa hormat. Nilai-nilai ini amat penting di dalam dan di luar gelanggang.
Beliau juga meminta atlet muda yang bertanding untuk mencabar diri sendiri atas semangat penyertaan dan memberikan usaha terbaik tidak kira sama ada menang atau kalah.
“Anda semua adalah juara dalam hak anda sendiri. Sokong dan dorong satu sama lain. Soraklah rakan-rakan anda dan hormatilah lawan anda. Semoga berjaya kepada anda semua,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata Sabah berbesar hati menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Belia Asia Tenggara (SEA) Ke-16 yang disifatkannya sebuah acara sukan utama yang berperanan besar dalam meningkatkan standard atletik dan mempromosikan persahabatan antara peserta dari negara-negara yang bertanding.
“Kita semua akan mendapat manfaat daripada acara sukan ini. Bagi pasukan Malaysia, ia adalah peluang untuk bersaing dengan yang terbaik dari rantau ini,” katanya. – Info X
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi