ROKOK SELUDUP BERNILAI RM2.6 JUTA DIRAMPAS

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan menahan sebuah bot kargo dan merampas rokok dianggarkan bernilai RM2.6 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini.

Bot kargo itu ditahan kira-kira jam 11 malam oleh bot peronda maritim yang sedang melaksanakan operasi khas ‘Operasi Api 2/2020’ di kedudukan 24 batu nautika barat laut, Pulau Usukan, Isnin lalu.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah berkata, kehadiran bot kargo yang berdaftar di Mongolia itu dikesan menerusi Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA selepas kelihatan objek yang mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

Katanya, bot ronda maritim diarahkan melakukan pemeriksaan di lokasi itu berjaya mengesan sebuah bot kargo mencurigakan sedang terapung dan ditahan pegawai maritim untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan didapati tekong bersama empat kru warga India dan dua kru warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 50 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa muatan rokok putih dianggarkan sebanyak 650,000 kotak kecil dari Vietnam yang disyaki barang larangan bernilai RM2.6 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan akan dihantar ke dua lokasi berasingan.

“Berdasarkan dokumen rokok itu akan dihantar ke Miri Sarawak dan Balik Papan, Indonesia. Selain itu, dokumen pelayaran bot juga meragukan dan tiada rekod ‘crew list’ serta ‘port clearence’ tamat tempoh.

“Bagaimanapun tekong dan kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Bot dan kru dibawa ke Jeti APMM, Sepanggar untuk siasatan lanjut dan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Pegawai dan anggota maritim yang terbabit dengan operasi itu juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Mohd Rosli berkata, bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata, APMM Sabah dan Labuan mengingatkan kepada semua komuniti maritim untuk sentiasa memakai jaket keselamatan apabila melakukan aktiviti di laut dan membawa peralatan keselamatan yang lain supaya tindakan segera dapat diambil.

“Kerjasama daripada semua komuniti maritim untuk memberi maklumat berkenaan aktiviti jenayah di laut amat dialu-alukan.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Operasi Maritim 088-387774 dan talian kecemasan 999,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *