Rokok seludup bernilai RM30,497 kena rampas PPM di Lahad Datu

Sebanyak 187 karton rokok tidak bercukai yang cuba diseludup masuk dari negara jiran berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), berhampiran perairan Kampung Puyut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, semua rokok berkenaan dikesan dibawa seorang lelaki menaiki sebuah bot enjin sangkut.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki terbabit terus memecut ke arah darat sebelum terjun ke laut dan terus menghilangkan diri.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil pemeriksaan bot yang tinggalkan itu menemui beberapa bungkusan plastik putih berisi rokok putih yang disyaki tidak bercukai.

Katanya, semua rokok yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM30,497 berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000.

“Selain itu, pesalah turut boleh di denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, Zon Maritim Lahad Datu akan melakukan siasatan terperinci dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek yang bertanggungjawab melakukan aktiviti penyeludupan ini.

Katanya, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkatkan terutama menjelang hari raya aidilfitri ini.

“Sebarang perlanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lain-lain kegiatan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.

“Maritim Malaysia menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu bagi membantu siasatan,” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *