Tangkap ikan pakai bom, dua nelayan di Lahad Datu kena tahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua nelayan yang disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan berhampiran Pantai Sungai Merah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, kegiatan dua nelayan terbabit dikesan hasil maklumat yang telah disalurkan oleh masyarakat tempatan sekitar Pantai Sungai Merah.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Mohammad Salleh berkata, bertindak atas maklumat, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan tinjauan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota bot mengesan sebuah bot pam tidak bernombor bersama dua lelaki dalam situasi mencurigakan.

“Sebaik dihampiri untuk pemeriksaan, dua suspek bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Suspek berusia 17 dan 33 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki daripada etnik Bajau Laut atau Palauh,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, hasil penggeledahan dan pemeriksaan kemudiannya menemui kira-kira 15 kilogram ikan yang disyaki hasil daripada aktiviti mengebom, berdasarkan situasi perut ikan yang dibelah.

Katanya, kedua-dua nelayan, bot pam dan hasil rampasan kemudiannya dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26, Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Jika didapati bersalah, nelayan terbabit boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 25 (a), akta yang sama dan boleh dikenakan denda tidak melebihi enam juta ringgit setiap orang dalam hal pemunya atau nakhoda, dan RM600,000  dalam hal tiap-tiap anggota kru.

“Manakala Seksyen 25 (b) pula bagi warganegara, dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Zon Maritim Lahad Datu memandang serius aktiviti pengeboman ikan yang dilihat aktif dijalankan di sekitar perairan Lahad Datu.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu bagi membantu siasatan. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *