Ronald Kiandee bakal ‘langgar’ BN di Beluran?

KOTA KINABALU: Selepas Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan calonnya di kerusi Parlimen Beluran semalam, bekas menteri pertanian dan industri makanan Ronald Kiandee dijangka akan tetap mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) lalu itu.

Sumber memberitahu FMT, Ronald, yang juga naib presiden Bersatu, akan hadir ke penamaan calon esok dan akan bertanding sebagai calon untuk sebuah parti yang belum didedahkan.

“Ya hantar (nama sebagai calon), tunggu saja kejutan esok. Apa yang saya boleh kongsikan bukan (sebagai calon) bebas,” kata sumber.

Sebelum ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN telah bersetuju untuk bekerjasama dalam PRU15 pada 19 Nov ini.

Sumber berkenaan juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Ronald akan bertanding atas tiket pembangkang atau parti lain yang belum meletakkan calonnya di situ.

“Boleh jadi juga, apa-apa pun kita jumpa esok (di pusat penamaan calon),” katanya ringkas.

Pada Selasa, GRS dan BN mengumumkan calon masing-masing secara bersama namun ketika itu calon untuk kerusi Parlimen Beluran masih belum diumumkan.

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin mengumumkan bekas presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Benedict Asmat sebagai calon parti itu di Beluran.

Ini sekali gus mengesahkan yang GRS tidak bertanding di kawasan itu walaupun Ronald merupakan penyandangnya.

Ronald memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN pada PRU14 dengan majoriti 7,115 undi.

Bagaimanapun, beliau bertindak keluar daripada BN untuk menyertai Bersatu selepas gabungan berkenaan hilang kuasa pada 2018.