Rumah, kereta musnah terbakar di Sukau

KINABATANGAN: Sebuah rumah dan kereta musnah dalam kebakaran di Kampung Bilit, Jalan Sukau, di sini, pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.08 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal dan kereta sudah musnah terbakar dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Rumah dan kereta musnah dalam kebakaran di Kampung Bilit, Jalan Sukau, Kinabatangan.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak pantas menjalankan operasi memadam kebakaran supaya api tidak merebak ke kawasan lain.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua pancutan daripada sumber air terbuka sungai berhampiran.

“Setakat ini, pasukan bomba tidak menerima sebarang laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa belaku dalam kejadian itu.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10 pagi,” katanya. – Info X