Sabah akan umum sama ada boleh atau tidak rentas negeri ini hari tiga

Pendirian kerajaan negeri berhubung kebenaran rentas negeri sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini akan diumumkan pada Rabu depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Negeri Sabah akan mempertimbangkan keputusan kerajaan Persekutuan itu dengan mengemukakan cadangan dan perakuan kepada jemaah menteri yang bersidang pada 13 Oktober ini.

Katanya, selepas pertimbangan dibuat, Kabinet Negeri Sabah akan membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Kita mengambil kira peratusan penduduk dewasa di Sabah yang memperoleh vaksin lengkap hanya sekitar 65 peratus.

“Prasyarat yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rentas negeri adalah 90 peratus penduduk dewasa lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menulas keputusan kerajaan Persekutuan yang membenarkan aktiviti rentas negeri berkuat kuasa esok.

Keputusan itu dicapai berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai 90 peratus. 

Masidi berkata, Sabah masih berada dalam kawalan pergerakan perjalanan mengikut sistem zon dan kawalan rentas daerah di luar kawasan zon masih berkuat kuasa.

Katanya, pendirian kerajaan negeri akan diumumkan pada Rabu ini selepas Mesyuarat Kabinet dijalankan. – Utusan Borneo