Sabah antara 10 kluster baru berkaitan sama tempat kerja

 Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 10 kluster baharu Covid-19 membabitkan lima negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Negeri Sembilan.

Katanya, kesemua 10 kluster baharu itu mendapat jangkitan dari tempat kerja.

Memperincikan kluster baharu itu Noor Hisham berkata, empat kluster direkodkan di Johor dan dua di Selangor dan Perak, sementara Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing satu kluster.

Kesemua kluster baharu adalah jangkitan tempat kerja melibatkan Kluster Jalan Tanjung Enam, Jalan Wawasan 14, Batu Dua Setengah, dan Jalan Lapangan Terbang di Johor.

Selain itu, Kluster Perdana Tiga dan Jalan Perusahaan Satu di Selangor, Kluster Batu Sebelas dan Jalan Pelabuhan di Perak, manakala Kluster Jalan Pasar di Sabah serta Kluster Tapak Bina Kasia di Negeri Sembilan.

Setakat 20 Feb, jumlah kluster di negara ini 1,068 dengan 510 kluster aktif, dengan pertambahan kes baharu hari ini merekodkan 91 kluster.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tembok Bukit Besi (146 kes), Kluster Sungai Putus (128 kes), dan Kluster Tanjung Suria (64 kes).”

Sementara itu, 11 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Terolak, Kluster Persiaran Tasek, Kluster Jalan Mawila, Kluster Rawa Akasia, Kluster Pasar Baru, Kluster Sawmill Luit, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Kampung Badak, Kluster Jalan Ijuk, Kluster Belati, dan Kluster Setapak Indah.