Sabah Data Fest Tahun 2019 galak perkongsian data terbuka agensi kerajaan di Sabah

Para pemenang mewakili jabatan masing-masing bergambar kenangan bersama Dr. Yusof (tengah), Mingu (3 dari kanan) dan Mohd Suhaili (3 dari kanan)

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi dengan kerjasama MAMPU Sabah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) Sabah dan Kinabalu Coders telah menganjurkan Sabah Data Fest Tahun 2019.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, ia bertujuan menggalakkan perkongsian data terbuka agensi kerajaan di Sabah.

“Pembelajaran teknik penyediaan set data yang berkualiti, meningkatkan kualiti set data di dalam portal data.gov.my dan meningkatkan kesedaran pelaksanaan data terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Sabah Data Fest Tahun 2019, di Wisma Bandaraya, disini pada Selasa.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Mingu Haji Jumaan, Pengarah MAMPU Sabah Dato Mohd Suhaili Mohd Taufek dan Pengarah JPKN Sabah Ernywati Dewi Abas.

Dr Yusof berkata, laporan firma perunding McKinsey menganggarkan bahawa nilai global data terbuka lebih daripada $ 3 trilion setahun.
Katanya, satu kajian yang dijalankan oleh Omidyar Network juga mendapati bahawa data terbuka boleh menyebabkan tambahan $13 trilion lebih dari lima tahun dalam pengeluaran negara-negara G20.

“Kita percaya data terbuka bakal mencipta nilai sosial dan ekonomi di Malaysia pelbagai cara iaitu mengurangkan kos dalam penyediaan yang sedia ada perkhidmatan oleh kerajaan dan sektor swasta (iaitu melakukan perkara yang sama dengan kos yang kurang).

Membolehkan perkhidmatan baharu dan perkhidmatan kualiti yang lebih baik; dan secara tidak langsung menyumbang kepada penambahbaikan dalam tadbirurus perkhidmatan kerajaan melalui peningkatan akauntabiliti dan penglibatan warganegara.

Kedua-duanya melahirkan kepercayaan yang lebih besar terhadap kerajaan,” katanya.

Dr. Yusof berkata, setiap industri sememangnya tahu bahawa inovasi adalah satu-satunya cara untuk mereka kekal relevan.
“Tidak kira betapa tradisional ia mungkin kelihatan, atau industri itu adalah pelopor kepada teknologi baharu.

Sama ada memegang lesen monopoli, mahupun sesuatu produk itu dilindungi oleh paten, sesebuah organisasi itu mesti membawa penyelesaian baharu kepada pelanggan berdasarkan apa yang pelanggan perlukan dan permintaan oleh pengguna,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua dekad yang lalu, tiada satu pun industri yang tidak disentuh oleh kesan langsung inovasi teknologi.
Katanya, perubahan langsung ini seolah-olah tidak dapat dikawal dalam masa yang singkat.

Menariknya, inovasi itu sendiri telah terkesan oleh kemajuan teknologi.

Katanya, sebagai platform perkongsian, media sosial dan data terbuka bakal mengubah cara sesebuah organisasi itu berinteraksi dengan pelanggan dan pengguna mereka.

Selaras dengan agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan, Beliau menyeru agar para peserta program itu yang telah mempelajari sedikit sebanyak berkenaan kepentingan data bersedia untuk berkongsi data-data yang ada di agensi masing-masing agar dapat dimanafaatkan untuk kepentingan rakyat khususnya di negeri Sabah.

Sempena Sabah Data Fest 2019, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori Data Terbanyak dimenangi oleh Ko-Nelayan,

Kategori Data Berkualiti dimenangi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Kategori Data Variety dimenangi Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan Kategori Anugerah Khas dimenangi Jabatan Pengairan dan Saliran.