KOTA KINABALU: Sabah antara enam negeri diramal mengalami episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang bermula hari ini hingga Mac tahun depan.
Sepanjang bulan ini hingga akhir Disember 2024 saja antara lima hingga tujuh episod hujan lebat diramal berlaku yang turut membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.
Selain itu, Sabah juga tersenarai dalam ramalan episod hujan lebat MTL yang dijangka berlaku bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 bersama Sarawak, Pahang dan Johor.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata hujan lebat berterusan beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata, menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.
Katanya, keadaan itu akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba.
“Namun begitu, keadaan diramalkan tidak seteruk seperti tahun 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun depan,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – Info X

More Stories
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional