PRN17: Masidi ketuai jawatankuasa rundingan kerusi GRS–PH Plus

KOTA KINABALU: Sebuah jawatankuasa rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) ditubuhkan bagi membincangkan kerusi yang bakal ditandingi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus.

Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, lewat petang tadi.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat yang juga Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.

Jelasnya, rundingan di bawah jawatankuasa itu turut membabitkan rakan parti yang membentuk kerajaan negeri sekarang iaitu PH Plus.

“Kita sudah bincang tadi untuk kita menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Masidi Manjun untuk berbincang dengan rakan-rakan parti kompenan dalam GRS termasuklah juga parti yang mendokong kerajaan sekarang ini iaitu PH Plus.

“Jadi, kita fokuskan kepada perbincangan dengan rakan-rakan kita dalam kerajaan. Tapi, ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti lain yang juga mendokong Kerajaan Perpaduan.

“Kita sentiasa terbuka dan boleh berbincang, yang penting ialah untuk kebaikan negeri kita Sabah,” katanya.

Hajiji bagaimanapun berkata belum ada tarikh atau tempoh tertentu ditetapkan bagi memuktamadkan perbincangan atau rundingan kerusi berkenaan.

“Kitapun belum tahu bila pilihan raya, jadi kita belum tahu bila mahu muktamad tarikh atau apa semua itu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata mesyuarat Gagasan Rakyat hari ini juga membincangkan persediaan persidangan agung tahunan parti itu yang dijadualkan pada 8 hingga 10 November ini dengan jangkaan kehadiran lebih 6,000 perwakilan di SICC.

Katanya, ketika ini Gagasan Rakyat sudah memiliki seramai 304,817 ahli dengan cawangan sebanyak 6,977 di seluruh negeri.

“Jadi, inilah parti yang kita gerakkan untuk memberi khidmat kepada rakyat terutama sekali menjelang pilihan raya akan datang kerana semua parti, termasuk parti yang saya pimpin ini dan juga parti kompenan GRS yang lain untuk mempersiapkan diri menghadapi PRN17 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Oktober tahun depan,” katanya.

Katanya persidangan itu nanti juga dijangka membahaskan beberapa usul selain ucapan dasar presiden, antaranya berkaitan ekonomi dan