SABAH IKON PERPADUAN KAUM – JAMAWI


Oleh Nio James

KEMABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar mengajak rakyat agar menerapkan nilai perpaduan yang merupakan elemen penting dalam mengekalkan keharmonian di kalangan masyarakat pelbagai etnik di Negara ini.

Beliau berkata, tanpa perpaduan, kemerdekaan dan kedaulatan negara yang dipupuk sejak sekian lama boleh terjejas serta lenyap begitu sahaja.

“Perpaduan yang kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara.

“Negara memerlukan kesatuan yang utuh di kalangan semua golongan masyarakat tanpa mengira fahaman agama dan bangsa,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru peringkat DUN Kemabong, di Dataran Terbuka Kemabong, semalam.

Sambutan berkenaan dianjurkan bersama bersama Pejabat ADUN Kemabong, Pejabat Parlimen Tenom dan Majlis Gereja Gereja Kemabong yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Ajis Jamman, Ahli Parlimen Tenom Norita Sual serta lebih dari 4,000 orang pengunjung .

Jamawi, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata sebarang perasaan sangsi, curiga dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan serta persengketaan yang akhirnya merugikan semua pihak.

“Mari kita renungkan perjuangan nenek moyang yang bertungkus lumus mendapatkan keamanan dan kemerdekaan.

” Adakah kita sebagai pewaris akan membiarkan kemakmuran negara itu runtuh begitu sahaja disebabkan perbalahan dan sengketa antara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Jamawi berkata pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting demi menjamin kestabilan ekonomi dan politik di negara ini

“Sabah adalah ikon perpaduan kaum, walau terdiri dari pelbagai kaum dan agama namun keharmonian kaum terus terpelihara yang perlu kita pertahankan selamanya” katanya.