Oleh Nio James
BONGAWAN: Menteri Pelajaran Dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pendekatan pembangunan modal insan yang dihasratkan kerajaan mestilah bermula sejak dari alam persekolahan dan alam remaja.
Katanya, untuk menjayakan usaha ini, semua pihak, sama ada para ibu bapa, pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, serta pihak-pihak lain yang berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing.
“Kerjasama dan kolaborasi seperti ini dapat membantu para pelajar tingkatan 5 dan 6 dalam menentukan apa yang ingin dicapai nanti sama ada untuk meneruskan pelajaran atau mencari pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Kerajaya, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan, Kimanis hari ini.

Program Kesedaran Kerjaya kali ini dilaksanakan untuk memberi pendedahan dan bimbingan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai pelbagai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam industri minyak dan gas, kulinari dan pelancongan.
Di samping itu, pelajar dan ibu bapa turut berpeluang untuk mendapat informasi mengenai tajaan biasiswa, pinjaman pendidikan dan kursus-kursus yang ditawarkan.
Antara agensi yang turut serta dalam program itu ialah PETRONAS yang memberikan informasi mengenai peluang pekerjaan di dalam industri minyak dan gas, manakala Asian Tourism Institute (ATI) berkongsi peluang-peluang pembelajaran di dalam bidang kulinari dan pelancongan.
Kolej Komuniti Beaufort dan Pusat Giat Mara Kimanis ditambah lagi dengan kolaborasi bersama JPSM, yang menawarkan kursus serta latihan kemahiran.
Jabatan Ketua Menteri Sabah di bawah tadbir urus Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan (JKM) dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah juga telah membangunkan satu sistem atas talian (Online) bagi tujuan pengumpulan maklumat calon-calon yang berkelayakan dan berminat untuk menjalani latihan serta menceburi sektor minyak dan gas.
Sistem ini akan dikenali sebagai Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas di Sabah (POMIGAS).
Sehubungan itu, Yusof menasihati pelajar-pelajar yang berminat untuk menceburi bidang ini, agar mengambil peluang untuk mendaftar dengan POMIGAS.
Beliau berharap dengan adanya sistem ini dapat membantu calon-calon berasal dari Sabah mendapat peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas.
Di majlis itu, Yusof juga menyarankan kepada para pelajar untuk tidak terlalu bergantung
dengan konsep “makan gaji” pada masa kini.
Katanya, ia adalah kerana saingan untuk mendapat pekerjaan agak tinggi di samping kehendak dan ekspektasi tinggi daripada majikan yang mahukan pekerja yang benar-benar layak dan berkebolehan.
Beliau berharap, program kesedaran kerjaya seumpama ini dapat diteruskan penganjurannya kerana bukan sahaja ia adalah platform kepada golongan pelajar mendapatkan informasi, tetapi diselitkan dengan program latihan, keusahawanan dan program kesedaran yang boleh membantu rakyat di negeri Sabah kita meningkatkan tahap sosial dan ekonomi.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ