Sabitan terhadap Najib adalah kemenangan buat rakyat: DAP

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International adalah kemenangan buat rakyat.

Beliau berkata keputusan itu juga amaran kepada pemimpin politik yang diberikan kuasa dan mandat oleh rakyat supaya jangan sesekali menyalahgunakan kuasa mereka.

“Hari ini merupakan hari kemenangan untuk rakyat Malaysia yang berani membuat perubahan pada 9 Mei 2018.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini juga merupakan kemenangan untuk sistem demokrasi negara,” katanya di Facebook.

Loke berkata, keputusan itu merupakan permulaan baik kepada negara iaitu tiada siapa yang bakal terlepas daripada menerima hukuman tanpa mengira status seseorang.

“Orang yang paling berkuasa sekalipun, yakni, perdana menteri, boleh dijatuhkan oleh rakyat dan menghadapi penghakiman mahkamah. Satu permulaan baru untuk Malaysia,” katanya.

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan akan mula menjalani hukuman.

Najib pada 28 Julai 2020 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta dikaitkan dengan SRC.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.