KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan terima apa jua keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung saingan Liga Super musim ini, termasuk kemungkinan dibatalkan.
Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, berkata, apa yang menjadi keutamaan mereka adalah keselamatan, bukan hanya pemain dan pegawai, tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Kita akan akur sebarang keputusan terutama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, FAM dan MFL sama ada saingan ini (Liga Super) ini diteruskan atau ditunda ke tahun depan.
“Saingan musim ini masih ada baki lebih setengah tahun lagi untuk dihabiskan tetapi di peringkat SAFA, kita akur apapun keputusan nanti, bola sepak kalau kita tidak dapat bermain tahun ini, kita masih boleh ditunda ke tahun hadapan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Peter berkata, pihak SAFA setakat ini juga tiada masalah dari segi menjaga kebajikan pemain walaupun mereka kini tidak menjalani latihan seperti biasa.
“Walaupun tidak berlatih seperti biasa, mereka masih menjalani latihan bersama secara ‘live streaming’ di rumah masing-masing dengan dikendalikan ketua jurulatih (Kurniawan Dwi Yulianto).
“Latihan seperti ini kita akan teruskan sehinggalah tempoh PKP tamat, tetapi saya lihat masalah ini mungkin akan berpanjangan dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuklah sekiranya liga musim ini dibatalkan,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus pasukan Tambadau, Henry Soimpon ketika dihubungi berkata, adalah lebih baik Liga Super musim ini dibatalkan daripada dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong.

Ia susulan khabar mengatakan Liga Malaysia mungkin akan diteruskan selepas PKP tetapi berlangsung tanpa penyokong.
“Pertamanya stadium pasti akan suram, dan ia juga akan menjejaskan bukan hanya pasukan Sabah tetapi juga pasukan-pasukan lain kerana tiada kutipan tiket,” katanya.
Henry turut berpendapat, sekiranya saingan liga berkenaan ditangguhkan terlalu lama, adalah lebih baik ianya dibatalkan./BERITA SABAH

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee