PITAS: Tiga lelaki termasuk dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) diberkas kerana dipercayai melepaskan beberapa tembakan sebelum menyamun sekumpulan penduduk di Pulau Lundayan, Pitas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga lelaki dan seorang daripadanya memegang selaras senjata api disyaki M16 dengan menaiki bot mendekati sekumpulan penduduk yang sedang menjemur ikan di pantai pulau berkenaan.
Suspek yang bersenjata kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan air sebelum mengarahkan semua mangsa di pulau berkenaan keluar dari rumah masing-masing.
Suspek turut memukul dan menendang beberapa mangsa kemudian mengarahkan dua penduduk kampung untuk membeli syabu di sebuah pulau berdekatan sebelum mengarah penduduk yang lain pulang ke rumah masing-masing.
Menurut sumber, sebelum beredar, suspek memaksa penduduk kampung untuk memberikan petrol yang diambil dari bot penduduk kepada suspek.
“Suspek turut mengambil hampir 100 kilogram ikan kering, jam tangan, wang tunai, telefon bimbit serta barangan runcit daripada beberapa mangsa sebelum beredar.
“Selepas semua suspek beredar, beberapa mangsa kemudian menaiki bot ke Pondok Polis Kinabongan, Pitas bagi melaporkan mengenai kejadian itu,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut.
“ketiga-tiga suspek sudah diberkas dan dua daripada mereka adalah anggota PGA manakala seorang adalah orang awam,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK