SANDAKAN: Daerah Sandakan memerlukan lebih banyak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) khasnya bagi pelajar yang mengalami masalah penglihatan, pekak dan bisu di peringkat sekolah menengah.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata, ini khasnya untuk membantu dan membolehkan mereka melanjutkan pembelajaran di peringkat sekolah menengah selepas tamat diperingkat sekolah rendah.
“Ketika ini antaranya, selepas mereka menamatkan pembelajaran di kelas PPKI sekolah rendah, pelajar dengan keperluan khas berkenaan akan dihantar ke Kota Kinabalu bagi melanjutkan pembelajaran mereka di peringkat menengah , ” katanya.
“Kita juga mendapat maklumat bahawa kemudahan pendidikan khas di Sandakan ketika ini juga masih tidak mencukupi,” tambahnya.
Beliau berkata demikian sejurus menghadiri Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Pendidikan Khas PPKI Sg.Anib III, Sandakan, pada Jumaat.
Hadir sama, Guru Besar sekolah itu, Azhar Sani dan Penolong Kanan PPKI SK Sg.Anib III, Shirley Liew Fui Mui.
Vivian berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk membantu anak-anak di PPKI di kawasan Sandakan dan warga pendidik PPKI disini yang memerlukan.
Sementara itu, Vivian juga diberitahu bahawa ketika ini Sandakan hanya mempunyai seorang ahli terapi pertuturan yang menjaga beberapa daerah.
Justeru, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia akan melihat isu kekurangan ahli terapi berkenaan dan keperluan pelajar yang mengalami masalah penglihatan, pekak dan bisu ini dengan sebaiknya.
“Hal ini penting demi masa depan anak-anak kita yang berkeperluan khas dan istimewa ini,” katanya lagi.
Terdahulu, semasa menghadiri sambutan hari kanak-kanak pendidikan khas di sekolah itu, Vivian juga bersuai kenal dan beramah mesra bersama anak-anak istimewa di sekolah itu.
Beliau juga mendengar keperluan atau kekurangan yang terdapat di sekolah itu daripada guru besar sekolah berkenaan termasuk dan Vivian juga mengambil maklum hal tersebut.
Vivian turut mengajak orang ramai agar terus memberikan kasih-sayang terbaik kepada anak-anak istimewa ini agar mereka juga mampu berdikari dan berjaya dalam kehidupan seharian.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara