Sarawak kasi vaksin remaja berumur 16 dan 17 tahun mulai besok

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata 96,400 rakyat negeri ini yang berumur 16 dan 17 tahun akan mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 mulai esok (Rabu).

Beliau yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini, memaklumkan kumpulan berkenaan yang majoritinya pelajar tidak akan menerima notifikasi janji temu mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera, sebaliknya akan menggunaakan sistem lain.

“96,400 (rakyat Sarawak) berumur 16 dan 17 tahun akan mula menerima suntikan vaksin COVID-19 esok, (Rabu 8 September 2021).

“Kami (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan pakai sistem lain iaitu kami tidak akan menggunakan aplikasi MySejahtera dalam mengurus program imunisasi melibatkan kumpulan ini sebaliknya pihak sekolah akan mengendalikannya,” ujarnya.

Beliau tidak menjelas lanjut mengenai sistem lain yang dimaksudkannya itu bagaimanapun, difahamkan pelajar beberapa sekolah menengah di sini telah dimaklumkan mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan masa janji temu vaksinasi oleh sekolah masing-masing.

Misalnya bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No.1 di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan, program imunisasi bagi pelajarnya yang layak akan bermula 13 September ini bertempat di Klinik Kesihatan Braang Bayur Padawan.

Ditanya bagaimanapun dengan mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun, Dr Mohamed berkata ia akan ditentukan kemudian.

Difahamkan kira-kira 240,000 atau sekitar 10 peratus daripada  populasi Sarawak merupakan rakyat berumur 12 hingga 17 tahun diminta mengambil bahagian dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
    
Pada Ahad, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak di peringkat akhir persiapan program vaksinasi rakyatnya berumur 12 hingga 17 tahun.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini memberitahu program seluruh negara itu akan bermula di Sarawak dengan mengambil kira negeri ini sudah mencapai penanda aras ditetapkan, 80 peratus rakyat dewasanya sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini juga memberitahu program imuninasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di bawah PICK dibahagikan kepada dua golongan iaitu berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu serta individu dengan atau tanpa masalah kesihatan.

Menjelas lanjut Dr Norr Hisham berkata remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu menjalani penilaian pra-vaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *