Sarawak rekod paling tinggi jangkitan Covid-19. Ini hari ada 5,291 kes

Rekod baharu 5,291 kes Covid-19 daripada 28,065 keputusan sampel ujian saringan yang dicatatkan Sarawak hari ini menyebabkan kadar positif melonjak kepada 18.8%, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Kadar positif di negeri berkenaan sebelum ini adalah 14.5%.

Beliau berkata, angka berkenaan menunjukkan penularan berlaku secara meluas dalam komuniti dan lonjakan kes harian menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian, terutama di lokaliti yang mempunyai kluster aktif.

Katanya, bilangan sampel ujian yang tinggi membebankan kapasiti makmal dan masa yang diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian terpaksa dipanjangkan sehingga menyebabkan banyak sampel tertunggak selama lima hari.

“Walaupun terdapat tunggakan masa dalam tempoh memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi gelang pengawasan dan pemantauan di rumah (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti.

“Daripada 5,291 kes baharu yang dikesan hari ini, 99.9% kes dalam Kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan terus melakukan pemantauan bagi menilai situasi Covid-19 di Sarawak dan beberapa langkah penambahbaikan mengikut situasi semasa.

Katanya, ujian RTK-Antigen akan digunakan secara meluas di seluruh Sarawak bagi mengenal pasti kes positif dan tindakan kawalan dilakukan segera.

“Perancangan strategi mitigasi juga sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *