Pelajar IPT yang belum lengkap vaksin tidak boleh balik kampus: Menteri KPT

Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 tidak dibenarkan kembali menyambung pengajian di kampus, kata Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Sebaliknya, Noraini berkata, mereka perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan hanya dibenarkan kembali ke kampus selepas menerima dos vaksin lengkap.

“Hanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan mengikuti pengajian secara hibrid di kampus,” katanya, menurut Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, arahan berkenaan terpakai kepada semua termasuk universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti seperti termaktub dalam SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) akan mengadakan kempen bagi menggalakkan pelajar mengambil vaksin dalam usaha untuk mewujudkan satu persekitaran selamat di dalam kampus,” katanya.

Mengikut rekod KPT, lebih 195,000 pelajar IPT awam tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi setakat ini.

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding pelajar IPT swasta yang tiada rekod vaksinasi, iaitu kira-kira 51,000 atau 10.2%.

Secara keseluruhan, sekitar 37.5% pelajar IPT awam dan swasta tidak mempunyai rekod status vaksinasi berdasarkan rekod semasa KPT.

Justeru, beliau meminta pengurusan universiti menyediakan data status vaksin pelajar terkini dengan kadar segera.

Selain itu, Noraini berkata, dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi kepada pelajar, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin minggu lalu.

“Alhamdulillah, kerajaan bersetuju supaya pelajar IPT yang masih belum divaksin, boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di PPV terbuka.

“Pelajar sedia ada hanya perlu menunjukkan kad matrik pelajar, manakala bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT,” katanya.

Pada masa ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima rekod daripada KPT yang menunjukkan seramai 547,595 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara sudah lengkap vaksinasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *