Satu lagi kluster baru di Sabah libatkan sekolah

Satu lagi kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan pelajar asrama di SMK Tenom, dikenali sebagai Kluster Mantailang Atas – Tenom.

Menurut Nabalu News, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun memaklumkan bahawa kluster itu dikategorikan sebagai kluster institusi pendidikan.

“Kes indeks adalah pelajar lelaki, 19, tinggal di asrama di SMK Tenom. Kes indeks mula bergejala sejak 11 November 2021 kemudiannya didapati positif Covid-19 setelah menjalani saringan pada 13 November.

“Saringan sama seterusnya dijalankan terhadap kontak rapat indeks kes yang terdiri dari rakan sekelas, rakan asrama serta keluarga dan berjaya mengesan 15 lagi kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Setakat ini jumlah kumulatif kes dalam kluster itu ialah 16 kes termasuk satu kes baharu yang dilaporkan hari ini.