Sabah mempunyai 190,000 pesakit diabetes berumur 18 tahun ke atas

Kira-kira 190,000 penduduk Sabah yang berumur 18 tahun ke atas dikesan menghidap penyakit diabetis dan memerlukan rawatan pakar.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Nirmal Kaur berkata jumlah itu adalah yang berjaya dikesan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan di seluruh negeri ini.

“Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati satu daripada lima rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit itu di seluruh negara.

“Masalah penyakit diabetis ini perlu diatasi dengan bantuan pakar kerana ia hadir secara senyap di dalam badan dan boleh merosakan keseluruhan anggota badan manusia,” katanya dalam laporan Utusan Borneo.

Bercakap semasa sambutan hari dibetis sedunia peringkat daerah Tawau tahun 2021, beliau memaklumkan setiap pesakit diabetis perlu mendapat akses yang baik daripada Klinik Kesihatan kerana selain ubat-ubatan, mereka perlu diberikan nasihat pakar untuk menangani masalah penyakit itu.

“Klinik Kesihatan akan memberikan perkhidmatan dari segi nasihat pemakanan, penjagaan anggota badan dan aktiviti fizikal.

“Pesakit diabetis perlukan bimbingan pakar terutamanya jenis aktiviti fizikal kerana tidak semua bentuk senaman sesuai dilakukan oleh mereka,” katanya.

Menurutnya, selalunya pesakit diabetis disarankan melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit sehari dalam lima kali seminggu.

Nirmal menasihatkan masyarakat yang berumur 30 tahun ke atas di negeri ini perlu membuat saringan kesihatan setiap tahun.

“Lima perkara harus dijaga sekiranya mahu kekal sihat dan terhindar daripada sebarang penyakit termasuk diabetis.

“Antaranya, makanan seimbang, tidak merokok, melakukan aktiviti fizikal, kekalkan berat badan ideal dan kurangkan minuman beralkohol,” katanya.

Nirmal turut menasihatkan agar masyarakat sentiasa menjaga kesihatan diri, lebih-lebih lagi pada masa pandemik COVID-19.

“Hal ini kerana, 80 peratus yang meninggal dunia akibat COVID-19 mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko penyakit kronik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau, Dr. G. Navindran mengalu-alukan semua masyarakat yang berumur 40 tahun ke atas untuk membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan di daerah ini.

“Kita akan memberikan pemeriksaan secara percuma dan semua yang datang akan diambil sampel darah bagi mengetahui status kesihatan mereka.

“Penduduk di daerah ini boleh datang pada bila-bila masa di mana-mana klinik kerajaan di daerah ini untuk membuat pemeriksaan,” katanya.