Saturang pengedar dadah tumpas di Papar

Kegiatan seorang lelaki yang giat mengedar dadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini berjaya dikesan sebelum ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata bertindak dengan maklumat awam, seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun berjaya ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar.

“Selepas menjalankan risikan berterusan, suspek akhirnya berjaya diberkas semasa giat menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam satu operasi serbuan di sekitar kawasan Bongawan.

“Turut ditahan semasa penahanan suspek adalah hablur jernih di dalam bungkusan plastik dipercayai dadah jenis syabu seberat 14.5 gram.

“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Papar untuk menjalani ujian urine dan hasil keputusan menunjukkan suspek turut terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah kerana positif methapetamine dan amphetamine,” katanya.

Tambahnya hasil soal siasat lanjut mendapati suspek bergiat aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah kepada penagih kecil-kecilan sekitar sini sepanjang tempoh PKPP.

Menurutnya suspek kini ditahan dan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *