SDI lancarkan mesin pengorek baharu NGH

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) – Sime Darby Industrial Sdn Bhd (SDI) memasuki pasaran jentera berat di Sabah menerusi pelancaran model mesin pengorek Cat Generasi Baharu (NGH)  – Cat 320 dan Cat 320 GC di sini hari ini.

Pengarah Urusan SDI, CK Teoh berkata syarikat itu memilih Sabah sebagai negeri kedua pelancaran model berkenaan selepas pelancaran di Kuala Lumpur dua bulan lepas.

“Sabah merupakan pasaran penting yang menyumbang 15 hingga 20 peratus kepada perniagaan kami.

“Perniagaan di Sabah kini lebih kepada minyak sawit, pertanian,penanaman semula pokok dan kerja ekskavasi kuari terutama untuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo, dan kami mahu mengembangkan penguasaan bahagian pasaran kami di sini,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan mesin pengorek baharu NGH itu.

Menurut Teoh, model baharu itu merupakan kemuncak kepada 25 tahun penyelidikan dan ujian oleh jenama Amerika Syarikat, Caterpillar, mengambil kira pandangan pelanggan selama bertahun-tahun.

Bercirikan butang tekan mula tanpa kunci dan skrin sentuh, mesin pengorek baharu itu menawarkan gabungan unik dengan ciri yang direka khas bersepadan produktiviti dan aplikasi pelanggan, dan pada masa yang sama mempromosi persekitaran kerja lebih selamat.

Teoh berkata model baharu itu mampu meningkatkan kecekapan operasi sehingga 45 peratus berbanding operasi secara tradisional.

“Apa yang boleh dilakukan 10 mesin pengorek model terdahulu, kini boleh dilakukan oleh enam mesin pengorek baharu ini,” katanya.

Syarikat itu akan melancarkan mesin pengorek NGH di Tawau dan Lahad Datu pada 4 dan 5 Okt ini