PENAMPANG: Pihak sekolah berperanan penting menggalakkan lebih ramai murid mengambil mata pelajaran berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan and Matematik (STEM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ini penting kerana Laporan National Science Outlook 2015 oleh Akademi Sains Malaysia menunjukkan jumlah pelajar yang mengambil Sains dan Matematik dalam negara hanyalah 20 peratus.
“Dalam tempoh tiga tahun lagi Malaysia dijangka akan mencapai sasaran menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Oleh itu, kerajaan telah mengenal pasti salah satu tunjang utama untuk mencapai sasaran itu dan seterusnya mengekalkan status Malaysia sebagai negara maju adalah STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Perasmian Projek “The Most Number of Old Books Collected (42,617 books)” Malaysian Book Of Record 2017, di SM St. Micheal Penampang, di sini, kelmarin.
Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Agung Upko Datuk Donald Mojuntin.
Turut hadir Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Mojuntin Ebin; Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Donald Malinggang; Pengetua SM ST Michael, Jennifer Asing dan Yang Dipertua PIBG, SM St. Michael, Datuk Philip Lasimbang.
Sehubungan itu, Madius berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya buku-buku bacaan lama termasuk buku STEM yang berjaya dikumpul untuk pusat sumber sekolah itu.
Katanya lagi, buku memainkan peranan penting untuk membentuk masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat.
“Tahniah kepada seluruh ahli jawatankuasa pelaksana, warga sekolah, pihak PIBG, komuniti setempat dan juga semua pihak yang terlibat menjayakan projek MBOR,” katanya.
Beliau berkata, sekolah berkenaan melaksanakan projek MBOR setiap tahun dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk PIBG dan pihak sekolah.
“Saya difahamkan idea projek MBOR ini tercetus dengan adanya keperluan untuk mengisi kekurangan bilangan buku-buku di pusat sumber sekolah.
“Menyedari kepentingan buku dalam melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dan berpandangan jauh, maka usaha murni ini terlaksana dengan jalinan kerjasama daripada PIBG dan pihak sekolah,” katanya.
Madius berkata usaha untuk mengumpul buku-buku bacaan itu juga antara satu inovasi kerana dapat menyelesaikan masalah kekurangan bahan bacaan di pusat sumber sekolah.
“Projek MBOR ini satu langkah bijak dan proaktif serta bertepatan dengan falsafah pendidikan kebangsaan, ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.
Beliau berharap SM St. Michael terus menjadi agen kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya mencintai ilmu demi kelangsungan hidup yang berkualiti.- OLEH MARRYAN RAZAN DAN JASON JACK EBIT (New Sabah Times)
More Stories
Dua tahun tiada pengambilan, Madius minta KPM luluskan semua permohonan kemasukan PISMP Bahasa Kadazandusun
Hubungan baik ibu bapa dan guru teras kemenjadian murid
447,982 murid Tahun Satu terima bantuan awal mulai minggu ini