KOTA KINABALU: Kesibukan melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik selain mengurus keluarga tidak menghalang tiga beradik mencapai impian mendapatkan segulung Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang pendidikan, di Asia e University (AeU).
Ini kerana bagi mereka – Roseainne, Rositah dan Rosmahwati LRMEbbie dari Kg.Pinasang Moroulu Kota Belud ilmu adalah harta paling berharga.
“Kami sentiasa ingat suatu ketika dulu ibu selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh. Kita orang miskin dan tidak punya harta.
“Hanya pendidikan yang boleh mengubah kehidupan. Itulah pesanan ibu kepada kami adik berdik yang kami pegang sehingga hari ini. Kami ingin melihat ibu bapa bahagia, gembira dan berbangga kerana berjaya mendidik anak-anaknya,” kata Roseainne anak kelima daripada 10 orang adik beradik.
Beliau yang bertugas di SK Taginambur Kota Belud berkata, pembahagian masa antara belajar, keluarga dan kerja amat penting.
“Waktu kerja adalah untuk bekerja sepenuhnya, begitu juga ketika bersama keluarga, tumpuan itu, tidak dicampur adukkan.
“Biasanya waktu belajar dan membuat tugasan saya selesaikan pada waktu malam, ketika semua kerja termasuk kerja rumah selesai. Kami amat bersyukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya, impian kami menjadi realiti,” kata Roseainne.
Katanya, tiada kejayaan yang datang bergolek dan kejayaan itu lebih bermakna apabila dapat dikongsikan dengan orang lain.
Tiga beradik itu mencipta sejarah sendiri apabila berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Pendidikan (Master Of Education) di Asia e University (AeU) dengan cemerlang.
Kejayaan ini amat membanggakan kedua ibu bapa mereka, Ebbie LR Madily dan Daimah KK Kunong. Rosita anak ketujuh daripada 10 orang adik-beradik berkata, sesibuk mana pun tugas sebagai seorang guru dan pelajar, kepentingan keluarga tetap diutamakan.
“Saya tidak pernah mengabaikan tugas sebagai ‘pengurus’ rumah tangga. Apa yang penting, kita harus bijak membahagikan masa, belajar, keluarga dan kerja,” katanya yang bertugas di SK Mangkulat.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapa dan semua ahli keluarga atas sokongan dan dorongan menamatkan pengajian.
“Apa yang dapat kami berikan, cuma segulung ijazah sarjana khusus untuk kedua ibu bapa kami,” katanya. Sementara itu Rosmahwati, anak kelapan dan bertugas di SK Wangkod Tamparuli berharap kejayaan mereka menjadi pembakar semangat kepada generasi muda khususnya para pelajar yang masih belajar.
Tiga beradik itu antara 3,227 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-7 AeU, di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), Kuala Lumpur, minggu lalu.
Selain pelajar Malaysia, para pelajar lain datangnya dari Bangladesh, Brunei, India, Indonesia, Myanmar, Namibia, New Zealand, Pakistan, Philippines, Somalia, Sri Lanka, Vietnam dan Yemen. -OLEH MARRYAN RAZAN
More Stories
Dua tahun tiada pengambilan, Madius minta KPM luluskan semua permohonan kemasukan PISMP Bahasa Kadazandusun
Hubungan baik ibu bapa dan guru teras kemenjadian murid
447,982 murid Tahun Satu terima bantuan awal mulai minggu ini