SEMANGAT UPKO BEAUFORT TERUS MARAK

KUALA PENYU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) mungkin kehilangan seorang pemimpin di bahagian Beaufort khususnya di Kuala Penyu, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat perjuangan parti itu untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di situ.

Malah, sokongan terhadap UPKO yang kini dipimpin Nelson W Angang sebagai pemangku Ketua Bahagian Beaufort terus marak walaupun mungkin terpaksa membuat sedikit perubahan struktur terhadap pimpinan parti di kawasan itu.

Nelson

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, beliau yakin Nelson yang juga Setiausaha Agung UPKO mampu menggalas tugasnya dengan baik untuk memimpin serta mengukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap parti berkenaan di bahagian Beaufort.

”Tahniah kepada saudara Nelson atas perlantikan sebagai Pemangku Ketua Bahagian UPKO Beaufort dan beliau juga mendapat sokongan besar daripada sebahagian AJK (Ahli Jawatankuasa) UPKO Beaufort.

”Ini membuktikan AJK serta ahli-ahli UPKO terus yakin dengan perjuangan parti ini walaupun pemimpin di sini sebelum ini telah meninggalkan kita,” katanya.

Madius ketika menyampaikan ucapan beliau pada majlis perjumpaan dengan pemimpin UPKO bahagian Beaufort di Kuala Penyu, semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika mengetuai rombongan pucuk pimpinan UPKO pusat ke Kuala Penyu, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin, Naib presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, Ketua Pergerakan Pemuda yang juga Naib Presiden UPKO, Joseph Felix Saang, Bendahari UPKO, Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu, Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan, Ketua Pergerakan Wanita UPKO, Datin Juliana Jani serta pemimpin-pemimpin UPKO pusat yang lain.

Ewon turut menyampaikan ucapan bersemangat kepada pemimpin dan ahli UPKO bahagian Beaufort

Sementara itu, Madius turut menyeru semua pemimpin serta ahli UPKO supaya terus fokus dengan perjuangan parti itu tanpa gentar dengan gertakan parti lawan.

“Kita juga harus bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan PRU (Pilihan Raya Umum) akan diadakan lebih awal, kita akan pastikan Kuala Penyu ini kekal milik UPKO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih kukuh walaupun dua wakil rakyat daripada UPKO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury serta ADUN Sugut, Datuk James Ratib membuat keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Perjumpaan semalam turut menarik kehadiran ramai khususnya jawatankuasa UPKO Beaufort

”Kita mendengar banyak khabar angin termasuk kononnya Tan Sri Musa (Aman) akan kembali menjadi Ketua Menteri pada penghujung bulan Jun dan kerajaan akan bertukar.

”Ini semua hanya khabar angin yang mengelirukan rakyat, mahkamah sudah menetapkan 26 Ogos tarikh baru pendengaran, itu baru pendengaran permohonan, akan ada lagi perbicaraan dan jika pada 26 Ogos mahkamah menolak permohonan itu, selesailah.

“Khabar angin ini hanya satu taktik pihak pembangkang di Sabah untuk menggugat kestabilan politik di sini,” katanya lagi.

Madius (tiga dari kanan) menerima borang menyertai UPKO daripada cawangan baharu iaitu Cawangan Padang Golf di Menumbok

Terdahulu, sokongan terhadap UPKO bahagian Beaufort semakin terbukti apabila satu lagi cawangan baharu iaitu Cawangan Padang Golf di Menumbok dibuka.

Pada majlis perjumpaan semalam, Madius turut menerima 38 borang menyertai UPKO daripada cawangan baharu berkenaan.