PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menganggap cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri sesuatu yang serius namun meminta sedikit masa untuk menelitinya.
Shafie berkata, beliau akan berbincang dengan pemimpin Parti Warisan Sabah (warisan) terlebih dahulu sebelum mengumumkan sebarang keputusan.
“Saya sangat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Dr Mahathir Mohamad. Itu satu cadangan dan saya perlu menelitinya secara mendalam termasuk mengadakan perbincangan bersama Timbalan Presiden Warisan (Darell Leiking) dan Ketua Penerangan Warisan (Dr Yusof Yacob).
“Ini satu cabaran besar untuk saya. Saya melihat ini secara serius. Beri saya sedikit masa (untuk membuat keputusan) dan (ia) tidak mengambil masa lama,” katanya ketika ditemui media selepas membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin, hari ini.
Mahathir mencadangkan nama Shafie sebagai calon perdana menteri dalam satu pertemuan dengan pemimpin DAP, Amanah dan Warisan pada 25 Jun lalu.
DAP dan Amanah bagaimanapun berkata mereka perlu berbincang dengan peringkat tertinggi parti masing-masing dan di peringkat PH berhubung cadangan itu.
Mahathir sebelum ini berkata pertemuan 25 Jun itu juga mempersetujui agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikai, Mukhriz Mahathir akan mengisi dua jawatan timbalan perdana menteri.
Cadangan kombinasi terbaru itu hadir ketika PH terus berdepan kebuntuan berhubung calon perdana menteri selepas PKR bertegas menolak Mahathir untuk dicalonkan sekali lagi, dan sebaliknya mahukan presiden parti mereka dicalonkan.-http://beritasabah.com
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam