KOTA MARUDU: Gara-gara senjata buatan sendiri, seorang lelaki hampir menemui ajal apabila tertembak di muka sendiri.
Kejadian di hutan Kampung Pinatau di sini dikatakan mangsa berusia 25 tahun cuba mengisi guli dan kepala batang mancis ke dalam senjata jenis ginsuk.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari wad kecemasan Hospital Kota Marudu pada jam 7.58 malam pada Rabu.
Katanya, pihak hospital memaklumkan mereka menerima seorang pesakit lelaki yang cedera parah di bahagian muka akibat tertembak dengan senjata buatan sendiri.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa sedang mengisi guli dan kepala batang mancis ke dalam ‘barrel’ ginsuk.

“Bagaimanapun, senjata berkenaan tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan kecederaan parah di mata kanannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Izaan berkata, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini berada di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Polis akan mengambil keterangannya dalam masa terdekat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ