SANDAKAN: Sentimen ‘anti-Malaya’ yang didakwa dibawa parti tempatan di Sabah disifatkan sebagai sesuatu yang ekstrem dan tidak menguntungkan perjuangan rakyat negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sentimen itu tidak wajar lebih-lebih lagi dalam situasi negeri ini yang masih dibelenggu kemunduran insfrastruktur asas dan masalah kemiskinan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan sentimen itu yang didakwanya digunakan sebagai dakyah parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tindak-tanduk sebahagian mereka selesa menggunakan sentimen ‘anti-Malaya’ hanya mencerminkan pemikiran ekstrem dan tidak menguntungkan perjuangan rakyat di negeri ini yang masih dibelenggu kemunduran pembangunan insfrastruktur asas dan masalah kemiskinan.
“Tindakan mereka yang dilihat ghairah ‘membuai’ angan-angan rakyat Sabah tidak mencerminkan aspirasi rakyat negeri ini yang sebenar.
“Malah, ianya lebih kepada kepentingan survival politik mereka dan bukannya untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemunduruan dan kemiskinan,” katanya pada Himpunan BN Sabah, di sini, Ahad lalu.
Beliau berkata, sejarah politik Sabah menunjukkan negeri ini pernah diperintah parti tempatan sejak zaman USNO, BRRJAYA sehinggalah ke PBS, namun tiada ukuran yang jelas dapat dilihat mengenai pencapaian masing-masing.
“Kita tidak dapat mengukur sejauh mana parti tempatan ini dapat memainkan peranan bagi membawa perubahan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Sabah yang masih berada dalam kemunduran.
“Kegagalan ini disebabkan pemimpinnya lebih mengutamakan kepentingan politik peribadi dan bukannya mengutamakan kepentingan rakyat yang memerlukan pembelaan dari sudut keperluan pembangunan,” katanya.
Katanya, dalam situasi sekarang parti tempatan di bawah GRS menyalahkan BN atas kegagalan kerajaan negeri, tanpa menghiraukan bahawa sebilangan pemimpin mereka sebelum ini pernah berada dalam BN dan UMNO.
“Mereka perlu menerima hakikat bahawa BN yang pernah memerintah Sabah lebih 20 tahun banyak membawa perubahan terutama dalam penyediaan insfrastruktur asas jalan raya seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo, sekolah dan hospital, semuanya adalah atas usaha kerajaan BN,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut membidas pihak yang seringkali memainkan sentimen UMNO parti Semenanjung yang dikatakan cuba merebut hak rakyat Sabah.
Beliau menyifatkan tanggapan itu sebagai terlalu prejudis dan boleh merencatkan konsep Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, UMNO yang sudah 33 tahun bertapak di Sabah dipimpin oleh rakyat tempatan termasuk beliau yang juga penduduk asal negeri ini.
“Sebenarnya orang yang bercakap ini mulut celupar maka jangan kita terlena dengan hasutan dan juga kebencian daripada musuh-musuh kita itu. Di Sabah ini kita dalam UMNO cuba berbaik dengan semua orang dan juga dengan semua parti,” katanya.
Menurut beliau permainan politik sedemikian adalah keterlaluan kerana boleh menimbulkan isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini.
“Rakyat di negeri ini perlu belajar dari sejarah masa apabila ada kaum ditekan sehingga beberapa pemimpin Sabah(termasuk yang berada dalam GRS ketika ini) meminta UMNO untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah demi mewujudkan kestabilan politik agar tidak ada mengabaikan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, sudah tiba masanya untuk jentera BN di negeri ini memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita perlu mengambil iktibar, tidak boleh berlengah lagi, kita tidak boleh lagi jadi melukut di tepi gantang. Kita tidak boleh lagi menjadi parti yang asal ada, asal dapat jadi kerajaan atau apa-apa saja kerana kita perlu ada fokus dan matlamat demi kestabilan masa hadapan,” tegasnya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ