KOTA KINABALU: Selepas dua kali tewas di Likas, Sabah FC menanam tekad untuk bangkit dan memastikan kemenangan di laman sendiri menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), malam esok.
Sabah sebelum ini tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super dan Terengganu FC ketika aksi suku akhir Piala FA ketika bermain di Stadium Likas.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad Sang Badak perlu mendapat keputusan positif dalam saingan malam esok meskipun menyedari NSFC bukan pasukan yang mudah ditundukkan.
“Sebelum ini, kita tewas kepada pasukan Terengganu FC dan harus melupakan bab Piala FA. Tempoh hari juga Sabah FC tewas kepada JDT, jadi kita perlu memberi tumpuan semula kepada perlawanan Liga Super.
“Perlawanan menentang NSFC sangat penting untuk kita menambah keyakinan dan memastikan Sabah FC tidak lagi kehilangan mata untuk kita memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super,” katanya.
Beliau menyifatkan NSFC sebagai lawan berbahaya kerana memiliki barisan pemain yang bagus, namun Sabah FC perlu berjuang untuk mendapatkan tiga mata penuh.
Berdasarkan prestasi semasa Sabah FC, Kim Swee menjangka pasukan bimbingannya mampu mencapai keputusan positif pada perlawanan menentang NSFC itu nanti.
“Beraksi di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada Sabah FC pada perlawanan malam esok. Seboleh-bolehnya kita ingin memperoleh tiga mata berharga.
“Kita sudah bersiap sedia dari segi taktikal, mental dan meningkatkan keupayaan pemain untuk memberikan komitmen tinggi bagi mencapai keputusan positif,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai barisan pemain pada malam esok, beliau berkata, ketika ini beberapa pemain muda Sabah FC II menyertai sesi latihan bersama skuad senior.
“Kita memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman, ini adalah pemain Sabah FC II yang tidak bersama di Kuala Lumpur, mereka mengikuti latihan untuk mencari keserasian dalam kalangan pemain sedia ada.
“Pada masa yang sama beberapa pemain dari Liga Super diturunkan ke pasukan Sabah FC II jadi mereka berpeluang bersama-sama menyertai sesi latihan.
“Kita ingin membuat penilaian dahulu, sebelum menentukan sama ada mereka ini akan diberikan peluang atau sebaliknya untuk beraksi pada malam esok,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ