SEORANG PEREMPUAN REMAJA DILAPORKAN TIDAK PULANG KE RUMAH SEJAK JUN 10

Gambar Nur Anissyah binti Abdullah yang dilaporkan belum pulang ke rumah sejak Jun 10

OLEH FAIZAL RAHMAN

LAHAD DATU : Ibu kepada seorang perempuan berusia 16 tahun telah membuat “Laporan Orang Hilang” di Balai Polis di sini selepas remaja itu belum pulang ke rumah mereka di Kg PPRT Peringkat 2, Taman Warisan sejak Jun 10.

Ketua Polis Daerah ACP Haji Nasri Haji Mansor memberitahu bahawa pengadu yang berumur 35 tahun membuat laporan berkenaan pada pukul 9.43 pagi kelmarin setelah usaha mencari di beberapa tempat terutama sekitar Lahad Datu anaknya masih tidak ditemui.

Pengadu mengatakan pada Jun 10 jam lebih kurang 9.00 pagi, anaknya bernama Nur Anissyah binti Abdullah telah minta kebenaran untuk ke bandar tetapi sehingga laporan dibuat  belum lagi balik ke rumah, kata Nasri.

Sebelum ini pengadu ada menerima mesej daripada anaknya melalui “whatsapp” satu nombor telefon bimbit dan isi kandungan mesej mengatakan “Umi Jangan Risau, Saya OK Juga, Tuan rumah itu juga maklum jika tidak balik pun tidak apa ” , kata Nasri.

Pengadu mengesyaki anaknya telah keluar mengikuti rakan sebayanya tetapi tidak diketahui siapa. Setelah anaknya gagal ditemui, baharulah pengadu buat laporan untuk makluman polis kerana bimbang akan keselamatan anaknya, katanya lagi.

Siasatan lanjut juga mendapati  remaja yang tinggal dan dijaga oleh neneknya merupakan anak tunggal hasil perkahwinan pertama pengadu dengan suami pertama. Pengadu yang kini menetap bersama suami serta bekerja di Kuala Lumpur telah balik ke kampung sini untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga, kata Nasri.

Nasri memohon bantuan dari orang awam jika mempunyai maklumat untuk menghubungi Balai Polis yang terdekat atau Pegawai penyiasat kes Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 0111-9019728.