Seramai 193,653 murid di Sabah masuk sekolah pada 8 haribulan ini

Sesi persekolahan bagi murid Tahun Tiga Hingga Enam pada Isnin ini akan membabitkan seramai 193,653 orang murid sekolah rendah kerajaan dan swasta.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, daripada jumlah itu seramai 191,972 orang murid daripada sekolah rendah kerajaan dan 1,681 murid bagi sekolah rendah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, pelajar sekolah rendah swasta itu adalah daripada 18 buah sekolah rendah akademik dan sekolah rendah agama.

Beliau berkata, untuk murid sekolah rendah kerajaan, bagi murid Tahun Tiga seramai 49,747, Tahun Empat seramai 48,448 orang, Tahun Lima membabitkan seramai 47,143 orang dan Tahun Enam seramai 46,634 orang.

Kesemua pelajar Tahun Tiga hingga Enam ini akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bermula Isnin setelah dua bulan menjalani sesi pelajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan 2021.

Sesi persekolahan bersemuka bagi pra-sekolah, Tahun Satu dan Dua telah bermula pada Isnin lepas. Sementara untuk sesi persekolahan bagi sekolah menengah pula akan bermula pada 4 dan 5 April mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. – Borneo Today