SERANG PAPAGOMO, 3 LELAKI DIAMBIL KETERANGAN

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Polis sudah memanggil tiga lelaki untuk mengambil keterangan berhubung Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsaan Kota Kinabalu (KKIA), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga mereka ditampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kira-kira jam 4 petang semalam.

“Ketiga-tiga mereka yang dipercayai terbabit dalam insiden itu diambil keterangan.

“Semua mereka dibebas dengan jaminan polis namun siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, kira-kira jam 7.30 malam, 19 Januari lalu, Wan Muhammad Azri diserang sekumpulan lelaki ketika sedang mendaftar di salah satu kaunter di KKIA.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, jam 2.30 pagi semalam.

Kejadian itu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB) dan turut dikongsikan di aplikasi WhatsApp.