SIBU: Pembukaan pusat perkhidmatan sehenti dengan jenama ‘Service Sarawak’ di tiga bandar utama Sarawak adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam menambah baik dan memudahkan lagi penyampaian perkhidmatan awam kepada kira-kira 2.8 juta rakyatnya.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata, tiga pusat itu ditempatkan di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuching, Sibu dan Miri, dibuka tujuh hari seminggu, kecuali pada hari-hari perayaan utama.
Menurutnya masa operasi pusat berkenaan adalah dari pukul 8.00 pagi sehingga 7.00 petang pada hari Isnin hingga Jumaat manakala pada Sabtu dan Ahad pula dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang, menempatkan agensi-agensi kerajaan negeri termasuk badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak.
“Ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat di Sarawak. Service Sarawak merupakan pusat sehenti yang menawarkan 10 jenis transaksi di satu kaunter, antaranya anda boleh membayar bil air, elektrik, cukai pintu dan banyak lagi.
“Sebelum ini orang ramai terpaksa pergi dari kaunter ke satu kaunter untuk membuat transaksi yang berlainan mengikut jabatan. Dengan Service Sarawak ini, orang ramai boleh berurusan dengan lebih cepat, mudah dan selesa di mana setiap transaksi memakan masa antara lima hingga 10 minit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat perkhidmatan Service Sarawak Sibu di UTC Sibu hari ini.
Selain itu katanya, pusat itu juga menyediakan pembayaran bil di kiosk-kiosk yang disediakan sekiranya orang ramai tidak mahu berurusan di kaunter samada secara tunai atau menggunakan kad bayaran atau cek bank.
Beliau berkata, Service Sarawak Sibu merupakan pusat seumpama yang kedua dilancarkan di Sarawak, di mana yang pertama adalah di UTC Kuching yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada awal Disember tahun lepas, dan menurutnya banyak lagi pusat seumpama itu akan dibuka di seluruh Sarawak bagi memberi kemudahan kepada seluruh rakyat.
Menyentuh tentang prestasi Service Sarawak di UTC Kuching yang mula beroperasi 1 Oktober 2018 Jaul berkata, 438,207 transaksi direkodkan dengan melibatkan jumlah kutipan RM343,115,938 manakala di UTC Sibu yang mula beroperasi 7 Oktober lepas merekodkan 48,066 transaksi dengan kutipan RM6,697,011.
Beliau berkata pusat perkhidmatan Service Sarawak Sibu diuruskan oleh seorang pegawai, tujuh penyelia dan menempatkan seramai 47 pegawai barisan hadapan yang bertugas secara syif sepanjang tujuh hari operasi.
Katanya kakitangan pusat berkenaan terdiri daripada kakitangan Unit Modenisasi Perkhidmatan Negeri (SSMU), Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Perbendaharaan Negeri, Pejabat Daerah Sibu, Jabatan Kebajikan, Lembaga Air Sibu dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Semntara itu Pengarah SSMU, Dr. Anthony Valentine Laiseh berkata lima Service Sarawak mini dirancang akan dibuka tahun depan yang terdiri daripada setiap satu di Serian, Sarikei, Lawas, Limbang dan Bintulu.– BERNAMA

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ