KOTA KINABALU: Parti Warisan menolak dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung penamatan kontrak syarikat konsesi air dilakukan kerajaan Warisan sebelum ini yang dikatakan sebagai punca masalah air di negeri ini bertambah teruk.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilaporkan berkata tindakan kerajaan Warisan pimpinannya pada 2018 itu dilakukan kerana kontrak syarikat konsesi air terbabit dilihat berat sebelah.
Katanya, sebanyak enam syarikat konsesi yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu, ditamatkan kontrak oleh kerajaan Warisan selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2018.
Beliau mendakwa kontrak syarikat terbabit adalah sebahagian besar daripada skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang berlaku ketika kerajaan BN di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman selaku Ketua Menteri pada masa itu.
Jelas Shafie, keputusan menamatkan kontrak syarikat konsesi itu bukan saja untuk meyelesaikan terma yang tidak saksama, malah disasar untuk meningkatkan pengurusan air di Sabah.
“Selepas kontrak syarikat konsesi itu ditamatkan, operasi dan pengurusan loji rawatan air (LRA) diserahkan kepada JANS,” katanya sebagai maklum balas terhadap kenyataan Hajiji kelmarin yang menyalahkan kerajaan Warisan atas masalah air yang semakin teruk selepas kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus mengambil alih kerajaan.
Hajiji turut menyalahkan Warisan apabila kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan sebanyak RM315.2 juta kepada syarikat konsesi terbabit kerana disaman selepas perjanjian kontrak ditamatkan sebelum tempohnya.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dilaporkan berkata, enam syarikat konsesi yang ditamatkan kontrak untuk mengurus 58 LRA di seluruh Sabah itu dilantik pada 2013 dengan tempoh kontrak selama 20 tahun dengan bayaran sebanyak RM15.5 juta sebulan.
Bekas Ketua Menteri itu mendakwa penamatan kontrak syarikat terbabit membolehkan kerajaan negeri menjimatkan RM12 juta sebulan atau RM144 juta setahun, manakala 1,335 pekerja mereka diserap oleh JANS.
Jelasnya, walaupun kerajaan membayar pampasan RM315 juta, masih ada penjimatan sebanyak RM685 juta daripada kontrak selama 20 tahun itu.
Berikutan itu, Shafie menyifatkan dakwaan Hajiji sebagai tidak berasas selain satu helah untuk mengalih perhatian terhadap kegagagalan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri sepatutnya menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah yang berlaku dan bukannya menyalahkan pihak lain.
Jelasnya, masalah air yang berlaku di Sabah sudah lama berlarutan, berakar umbi dalam salah urus tadbir, kelemahan infrastruktur dan kekurangan pelaburan yang sewajarnya selama beberapa dekad. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis