KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan kepada pemimpin politik supaya tidak memainkan isu yang boleh memecah belahkan perpaduan antara kaum dan agama khususnya di Sabah.
Katanya, setiap pemimpin politik seharusnya menerapkan nilai-nilai murni bagi memperkukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin, dan bukannya menyentuh sensitiviti kaum atau agama sehingga mencetuskan huru-hara.
“Tidak ada kebaikannya (mencetuskan politik perkauman) untuk masa depan. Kita mesti memberi contoh baik dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, di sini, hari ini.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan timbalan ketua menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau turut menggesa pemimpin politik supaya mengambil iktibar dari negara-negara yang masih bergelut dengan isu perkauman dan ekstremisme agama meskipun sudah lama merdeka.
Kalau kita tidak belajar (mengambil iktibar), hanya melihat kehendak kita, keperluan kita sebagai individu dan landasan politik semata-mata, maka kita bakal menghancurkan perpaduan masyarakat yang ada,” katanya.
Sementara itu, Shafie berkata, beliau tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G), terutama dalam hal berkaitan pembangunan di Sabah
Katanya, beliau sebelum ini telah memaklumkan perkara itu kepada perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang pihaknya akan sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan persekutuan.
“Saya sudah maklumkan pada beliau (Muhyiddin) bahawa Sabah akan mengamalkan G-to-G antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk kepentingan negara.
“Bukan seperti haluan politik, saya nyatakan politik adalah berbeza dan ketepikan itu.
“Pendirian politik saya untuk sesetengah perkara dan prinsip berbeza namun kita tetap memberi kerjasama dalam membina negara, itu penting,” katanya.
Terdahulu, baru-baru ini, Muhyiddin berkata adalah lebih baik sekiranya kerajaan Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan pimpinannya serta dapat bekerja sebagai satu pasukan kerana ia dapat memberi impak lebih besar dalam pelbagai aspek.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius