Shafie Jelaskan Peluang Pelaburan Sabah Kepada 200 Pelabur Jepun

KOBE, JEPUN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meluangkan masa selama tiga jam berdepan dengan kira-kira 200 pelabur dan ahli perniagaan dari 140 buah syarikat di Kobe, Jepun bagi menerangkan tentang peluang pelaburan yang ditawarkan oleh Sabah.

Ketua Menteri yang turut memberikan ucaptama sempena program Seminar Perniagaan Di Antara Malaysia dan Jepun itu, mengambil sepenuhnya kesempatan untuk menjelaskan kepada setiap pelabur yang hadir tentang potensi Sabah sebagai pintu masuk kepada Jepun meluaskan empayar perdagangan ke negara ASEAN.

Beliau berkata, dengan adanya Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu, Sabah adalah hub logistik yang terbaik kepada syarikat-syarikat Jepun kerana terletak di laluan perdagangan Selat Lombok-Makassar yang semakin berkembang.

“Kami berada di laluan perkapalan Selat Lombok-Makassar yang semakin mendapat tumpuan kapal-kapal perdagangan di Asia Tenggara yang menjadikan pantai timur Sabah sebagai lokasi utama untuk membangunkan hub logistik berikutan pertambahan jumlah kapal perdagangan di selat berkenaan.

“Ini antara punca kenapa Kerajaan Sabah membangunkan fasiliti pelabuhan baharu iaitu POIC Lahad Datu,” katanya.

Seminar berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada agensi Kerajaan Pusat serta Kerajaan Sabah.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Pembangunan Pelaburan Malaysia, (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa.

Ketua Menteri berkata, Sabah yang kaya dengan sumber alam turut menawarkan peluang perniagaan dalam pelbagai sektor kepada Jepun antaranya industri minyak dan gas, industri halal, minyak sawit, akuakultur, perikanan, rumpai laut dan pembuatan perabot kerana Sabah mempunyai sumber balak yang banyak.

Katanya, dengan keluasan tanaman sawit 1.5 juta hektar, Sabah mengeluarkan enam juta minyak sawit mentah (CPO) dan 30 juta tan minyak inti sawit mentah (CPKO) setahun untuk industri biomas yang terkenal di Jepun.

Sehubungan itu, beliau berjanji Kerajaan Sabah akan memberi laluan mudah kepada mana-mana syarikat di Jepun mendapatkan kelulusan melabur di negeri itu tanpa perlu melalui kerenah birokrasi yang banyak asalkan permohonan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Oleh itu, Sabah adalah lokasi menarik untuk pelaburan, kami menawarkan kedudukan strategik untuk industri halal, pergerakan kargo halal dan pengedaran barang, sumber yang banyak seperti minyak sawit mentah, akuakultur, perikanan, rumpai laut dan produk sampingan sawit di antara Sabah dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Industri kayu-kayan adalah antara yang saya harap dapat menarik kemasukan usahawan Jepun, kami telah mengharamkan eksport kayu balak untuk menyokong industri perabot.

“Seperti saya katakan sebelum ini Sabah mempunyai hutan hujan tertua di dunia dan industri pembalakan kami dibangunkan secara mampan agar menepati standard yang ditetapkan di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, selepas seminar berkenaan, Mohd. Shafie bersama Darell, Azman dan Wan Latiff turut menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh pelabur-pelabur Jepun dalam sesi soal jawab yang diadakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *