Shafie Sokong Sabah Membida Sebagai Tuan Rumah SUKMA Tahun 2022

Shafie (duduk barisan tengah) bersama Phoong bergambar bersama rombongan KBSS selepas kunjungan hormat berkenaan.

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal menyokong Sabah membida sebagai tuan rumah SUKMA tahun 2022.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah bersiap sedia, melakukan yang terbaik untuk membida penganjuran sukan berprestij itu.

Shafie berkata, walaupun berhadapan dengan saingan hebat negeri Selangor pada kali ini. Sabah memerlukan banyak sumber untuk membangunkan fasiliti dan bakat sukan.

“Oleh itu melalui penganjuran Sukan Malaysia, kemudahan sukan Sabah dapat dibangunkan dan dinaiktaraf, seterusnya meningkatkan latihan dan prestasi atlet negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe dan rombongan, di pejabatnya di Pusat Pentabdiran Negeri Sabah (PPNS) disini, semalam.

Kunjungan hormat itu bertujuan untuk memberi taklimat  kepada Shafie mengenai hasrat  Sabah untuk membida penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) tahun 2022.

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Arunarnsin Taib, Timbalan Setiausaha Tetap kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Neldin Gimbang, Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah Terrence Pudin, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor, Setiausaha Politik KBSS Henry Shim Chee On, Setiausaha Perhubungan Awam Katrina Leong serta pegawai-pegawai KBSS.

Sementara itu, Phoong berkata, beliau giat mencari pendekatan untuk menambahbaik fasiliti sukan negeri Sabah sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Beliau berkata, jika berjaya menjadi tuan rumah SUKMA 2022, maka ini merupakan peluang  untuk menaiktaraf kemudahan sukan di Sabah agar setaraf di peringkat antarabangsa.

“Ditambahkan dengan sektor pelancongan Sabah yang amat berpotensi, membangunkan ekonomi negeri melalui penganjuran acara sukan antarabangsa merupakan salah satu tugas beliau selama ini,” katanya.

Katanya, Sabah merupakan tuan rumah SUKMA pada tahun 2002, jika pembidaan pada kali ini berjaya, maka ia merupakan acara besar yang amat bermakna dan dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah selepas 20 tahun.

Phoong berkata, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang lepas, beliau telah menyuarakan hasrat Sabah untuk membida penganjuran SUKMA 2022 secara rasmi.

Beliau juga berharap Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq memberikan peluang kepada Sabah, sedangkan objektif SUKMA adalah untuk membangunkan dan mendorong acara sukan di negeri masing-masing, “Sabah wajar diberi peluang yang sama rata untuk membida”.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, kerajaan pusat akan melancarkan “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” pada Sabtu ini, matlamat dan tujuan Wawasan ini adalah untuk merapatkan jurang antara kaya dan miskin, perbezaan kaum, pembangunan bandar dan luar bandar dan sebagainya.

Beliau berpendapat bahawa, jika Sabah yang jauh ketinggalan dalam arus pembangunan tidak mendapat perkongsian sumber yang sama rata, maka “Wawasan Kemakmuran Bersama” ini tidak akan berjaya.

“Oleh itu, berdasarkan wawasan ini, Sabah berhasrat untuk menjadi tuan rumah, demi mendorong pembangunan sukan di Sabah, meningkatkan kemudahan sukan dan pertumbuhan ekonomi negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *