HARI ini, Rabu 18 Mac 2020, akan tercatit dalam sejarah bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan yang julung kali diwartakan di seluruh negara, sehingga 31 Mac 2020. Tidak mustahil ‘movement control order (MCO)’ ini akan dilanjutkan.
Secara peribadi, diri ini sangat sedih. Malah semakin marah; berang! Berlandaskan mesej-mesej dalam aplikasi seperti whatsapp dan media sosial seperti facebook, MCO ini seakan tidak diendahkan sangat. Ramai dikalangan kita yang seolah-olah “in denial”; bahawa tidak mungkin kita akan kena wabak ini; bahwa virus ini tidaklah merbahaya sangat. Saya sangat terkilan dengan reaksi sebegini. Palis-palis, touch wood, janganlah kita terkena wabak ini.
Pada masa yang sama, saya boleh faham, ramai yang tidak tahu, terutama warga tua dan mereka yang tidak mendapat informasi kerana berada diluar kawasan yang ada talian telekomunikasi. Satu contoh, hari ini, pasar tani atau tamu di Pekan Tamparuli. Ramai juga para peniaga dari kampung-kampung yang membawa hasil tani mereka ke tamu. Tindakan pantas Majlis Daerah Tuaran menghebahkan MCO dan penerangan mengenai virus itu diterima dengan baik dan para peniaga pun bergegas pulang.
Tidak keterlaluan kalau saya andaikan, bahawa ramai yang belum sedar bahawa MCO itu wajib kerana Corona Virus Disease 2019 atau COVID-19 yang sudah diwartakan oleh World Health Organisation (WHO) sebagai satu pandemic. Ini bermakna ia satu masalah yang sudah tersebar luas, merentasi sempadan negara, penyakit yang melanda seluruh dunia.
Semasa menulis NURANI ini, WHO menyatakan sudah ada 184,976 kes melibatkan 159 negara yang disahkan menghadap COVID-19, dan menyebabkan 7,529 kematian. Negara-negara yang terlibat teruk termasuk Itali dengan lebih 2,500 kematian, Iran, China dan Amerika.
Sehingga semalam, Malaysia sudah ada dua kematian yakni di Johor dan di Sarawak, serta 673 kes yang disahkan.
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah bertitah agar rakyat mematuhi MCO, demikian juga Perdana Menteri yang mengumumkan MCO, dan para pemimpin lain seperti Ketua Menteri Sabah.
Sehingga kelmarin (17 Mac) terdapat 82 kes yang disahkan di Sabah dan berkaitan dengan 2,426 anggota jemaah tabligh Sabah yang hadir ijtimak kumpulan di Masjid Seri Petaling, pada 27 Feb-1 Mac. Lebih 14,000 anggota jemaah dari seluruh negara hadir dalam ijtimak itu.
Sesiapa yang engkar MCO, sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau dipenjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Yang membuat saya naik angin, terlalu banyak reaksi yang langsung tidak membantu menyelesaikan masalah, atau sekurang-kurangnya membantu mengekang penularan virus ini. Berita palsu berleluasa, pelbagai klip video tular, malah Presiden Amerika memanggil wabak ini sebagai “Chinese virus”. Ya, ada yang mengatakan ia mula di kesan di Wuhan, China namun pihak China juga mengandaikan, mungkin ia dibawa oleh askar daripada Amerika. Ada juga yang membayangkan, ini mungkin “biological weapon” yang baru.
Saya sebagai penyokong agak tegar kepada kelab Manchester United tersenggih jua bila ada yang berkata virus ini wujud supaya Liverpool tidak menjulang piala Premier League secara merit musim ini.
Dari kaca mata politik, ada pula yang berpendapat Malaysia pun kena virus ini gara-gara pergolakan politik sehingga terbentuk Kerajaan Pintu Belakang pada 29 Feb lalu. Macam-macam ada; malah ASTRO pun membantu memudahkan MCO dengan menayangkan tanpa bayaran semua saluran MOVIES sehingga perintah itu berakhir.
Saling menunding jari bukanlah penyelesaian kepada masalah ini. Apatah lagi gurau senda dan mesej palsu yang menular. Yang jelas, MCO sudah berkuat-kuasa, dan sebaik-baik jiwa, setiap kita wajib patuhi bukan kerana akan ada penguatkuasa yang akan saman segala, tetapi, sejujurnya virus ini begitu mudah menjangkiti kita, dan boleh membawa maut.
Situasi kita kini sebenarnya sangat genting; sangat runcing; sangat dalam bahaya. Saya sendiri, orang-orang tersayang saya, kita semua boleh saja dijangkiti dan mati kerana COVID-19 ini.
Justeru, saya tertegun bila ada yang berfahaman lain, sehingga tergamak memuatnaik dalam Twitter bahawa kemungkinan mati kerana corona itu satu peratus, bahawa kepastian mati kerana ajal itu 100 peratus.
Mungkin kita lupa, bahawa dari segi populasi, satu peratus itu ialah lebih 300 ribu rakyat Malaysia! Tidak hairanlah, akaun itu sudah tidak aktif.
MCO adalah perintah yang ada kini. Bagi saya, dengan apa yang terpapar melalui berita dunia, lockdown yakni yang lebih drastik daripada MCO seperti yang berkuatkuasa di Italy, Sepanyol dan Perancis wajar dipertimbangkan. Pun, jauh disudut hati, moga lockdown tidak perlu kerana keadaan akan beransur pulih.
Yang jelas kini, kita sedang berhadapan dengan keadaan yang luar biasa. Ia tidak akan pudar tanpa usaha dan kolaborasi erat daripada setiap kita. Tidak boleh tidak, kita wajib laksanakan MCO. Tidak boleh tidak, kita ikut kata-kata YDPA yang lalu: SILA DUDUK, JANGAN LARI.
Kita duduk di rumah; dan hanya “lari” untuk keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti membeli barangan dapur. Itu pun hanya seorang yang keluar daripada rumah; bukan berduyun-duyun.
Dalam semua ini, hati ini hiba teringat para peniaga di Tamu Tamparuli tadi. Pastinya mereka sudah menuai hasil tani mereka sejak beberapa hari lalu, dikumpulkan, disediakan dan dibawa ke pekan. Ramai yang ikut kenderaan awam, mungkin pawong atau pirate.
Tiba di tamu, mungkin baru sekerat dua yang terjual, sebelum dimaklumkan mengenai MCO dan harus bergegas pulang ke rumah.
Mahu dikemanakan jualan sekerat itu? Apa tambang untuk pulang? Bagaimanakah hari-hari mendatang? Ada juga yang berjualan nasi campur, sudah memasak lebih sepuluh jenis makanan, namun tiada pembeli. Akan berasap lagi kah dapur kecil sehari dua kelak?
Hati ini terkedu bila mendapat tahu, semua institusi pengajian tinggi di tutup, pada siswa-siswi disaran untuk pulang kampung. Perlu surat daripada polis pula; yang kemudiannya ditiadakan. Apakah anak-anak ini hanya akan menularkan tanpa sengaja virus kepada ahli keluarga tersayang di kampung? Apa pula usaha meringankan bebanan dan masalah mereka yang tiada kewangan untuk balik kampung, terpaksa tinggal di asrama tetapi kantin pula ditutup?
Syukur kerana kebetulan minggu ini adalah cuti seminggu bagi anak-anak sekolah rendah dan menengah. Kini dilanjutkan hingga MCO berakhir. Bermula Isnin depan, ada juga yang sudah bersedia mengadakan pembelajaran secara online. Eh, ini sesuatu yang baik juga; mungkin boleh diperhalusi dan dilaksanakan persekolahan secara maya ini sepenuhnya dimasa-masa akan datang. Ada juga hikmah daripada kemelut ini.
Tersentuh juga hati dengan mereka yang sudah merancang untuk mengadakan kenduri sempena perkahwinan, pertunangan, serta pelbagai lagi acara lain yang terpaksa ditangguhkan. Better be safe than sorry, lebih baik mengutamakan keselamatan daripada menyesal dibelakang hari.
Hati ini juga luluh bagi para anggota keselamatan yang dikerah menjaga bangunan-bangunan kerajaan kerana hampir semua pekerja pejabat duduk di rumah. Yang lebih tidak terbayangkan sepenuhnya ialah, bahaya yang dihadapi oleh para anggota kesihatan seperti doktor, jururawat dan pekerja hospital yang begitu terdedah kepada virus itu.
Semoga kita semua saling menyokong jitu sesama kita. Betul, gereja, masjid, kuil, tempat-tempat beribadat sunyi lenggang sejak minggu lalu. Namun, bila ada dua atau tiga orang berkumpul berdoa, Tuhan Yang Maha Esa pasti akan mendengar. Bisikan doa peribadi setiap kita juga, dengan iman walau hanya sekecil biji sesawi, mampu membantu kita keluar daripada musibah COVID-19 ini.
Mari kita ikuti MCO. Mari terapkan juga penjarakan sosial atau social distancing, yakni menjarakan diri kita sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain terutama ditempat awam.
Mari sama-sama mengharapkan virus ini pun akan berlalu pergi; sama seperti SARS, H1N1 dan Ebola.
Sila duduk. Jangan lari daripada tanggungjawab. Kita hadapi semua ini dengan hati cekal; jiwa kental; ketenangan dan kesedaran jitu bukan sahaja mematuhi MCO tetapi melaksanakan apapun juga langkah-langkah tambahan yang terbukti berkesan. #kionsomboy pun mahu bisik doa./BERITA SABAH

More Stories
Suntikan Fiskal Perkasa Latihan Industri
Nuansa Percaturan Politik, Mencatur Politik, dan Politik Catur
16 November: Hari Yang Penting Untuk Sabah