Simbah Petrol di ruang tamu, seorang mati, seorang parah, kejadian di Beluran

Seorang lelaki maut akibat cedera parah dalam kebakaran di rumah kongsi pekerja ladang di sini pada Ahad.

Dipercayai, suspek kejadian terbabit iaitu seorang lelaki pekerja ladang turut sama mengalami kecederaan parah selepas cuba membakar rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 1 petang daripada Penolong Pengurus Ladang Ribu Bonus di sini.

Beliau berkata, mangsa yang berumur 29 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Katanya, suspek yang berumur 34 tahun masih menerima rawatan di hospital sama dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek warga Indonesia dipercayai menyimbah minyak petrol di ruang tamu rumah berkenaan dalam kejadian lebih kurang jam 8 malam. 

“Sejurus tindakan itu, api menjadi marak di dalam rumah kongsi berkenaan. 

“Akibatnya suspek turut terbakar bersama mangsa iaitu pekerja ladang yang juga warga Indonesia,” katanya.

Kasim berkata, kejadian terbabit disaksikan isteri mangsa yang berjaya menyelamatkan diri.

“Pekerja ladang yang berada di kawasan berhampiran berjaya memadamkan api dalam rumah terbabit daripada merebak.

“Suspek dan mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam,” katanya.

Kasim berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *