KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras, rokok dan makanan sejuk beku bernilai RM20 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasing di daerah ini dan Penampang.
Serbuan menerusi Op Taring Ezzone, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah pada 19 hingga 26 November lalu turut menahan seramai 29 lelaki.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abdul Rani Alias berkata, tiga serbuan dilaksanakan oleh pegawai dan anggota dari PGA Bukit Aman bersama Batalion 16 PGA Kinarut, Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 14 PGA Tawau dan Batalion 20 PGA Beluran
Katanya, serbuan pertama di sebuah stor di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar dan merampas 56,616 tin minuman keras pelbagai jenama, sebuah treler, lori dan van serta 11 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Serbuan juga menahan tujuh warga tempatan dan lima warga Indonesia. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM2,056,732.81.
“Serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah tanpa nombor di Jalan NC Mogunting, Penampang dan premis di Kampung Ganang, Kepayan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdu Rani berkata, hasil serbuan di dua lokasi itu merampas 5,294,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM9,601,180.81.
“Selain itu, pasukan serbuan menahan enam warga tempatan dan satu lelaki berstatus penduduk tetap dan merampas lima kenderaan serta lapan telefon bimbit pelbagai jenama.
“Manakala serbuan ketiga dijalankan di sekitar Penampang pada 26 November lalu,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan itu, menahan seramai 10 lelaki warga tempatan serta merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
Pecahan hasil rampasan iaitu 1,944 kotak ayam segar, ikan kayu (620 kotak), kulit ayam (1,370 kotak), ikan kayu (4,561 kotak), ayam bulat (455 kotak), paha ayam (535 kotak), kambing (163 kotak), itik (472 kotak), buntut ayam (1,134 kotak), tulang lembu (208 kotak) dan sayap ayam (15,000 kotak).
“Nilai rampasan membabitkan serbuan keempat ini berjumlah RM8,345,718.84 termasuk cukai,” katanya.
Katanya lagi, nilai keseluruhan rampasan bagi ketiga-tiga serbuan berjumlah RM20,003,632.46.
“Hasil operasi ini juga berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan minuman keras tanpa lesen yang sah, rokok seludup dan pengedaran/penjualan daging tanpa pensijilan halal yang sah serta permit import yang sah di sekitar kawasan pantai barat Sabah.
Kes disiasat mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 dan Akta Makanan 1983, Peraturan 38(1)(c) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata polis melalui PGA secara khususnya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab dan profesional demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negara ini.
Katanya, pihaknya juga mengharapkan agar orang awam dapat menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan segala jenis maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan yang berlaku di sekitar kawasan mereka.
“Ini bagi memastikan negara tidak diceroboh oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan,” katanya. – Info X
More Stories
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?
Polis Tawau rampas dadah jenis syabu 2.43kg bernilai RM87,000
‘Berubahlah, makin tua sudah’ – nasihat hakim kepada pesalah tegar dadah