Sirhajwan harumkan nama negara: Musbah

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makan, Datuk Musbah Haji Jamli berkata, kecemerlangan Mohd Sirhajwan Idek, 29, harus dijadikan pembakar semangat dan sumber inspirasi kepada golongan muda di negara ini.

“Inilah hasil daripada usaha gigih Sirhajwan mengejar impiannya yang kini telah menjadi kenyataan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Tahniah kepada Sirhajwan kerana telah mengharumkan nama Malaysia dan, kejayaan itu adalah hasil daripada didikan dan sokongan oleh kedua ibu bapanya, Haji Idek Haji Asal dan Hajah Bintek Haji Abdul Rahman serta anggota keluarga,” katanya

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk berkata demikan ketika bersama ibu bapa dan keluarga Sirhajwan menyambut ketibaan guru itu di KKIA dari Paris, Perancis, pada Isnin.

Mohd Sirhajwan Idek, Guru Kolej Vokasional Keningau telah mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris, pada Sabtu lepas.

Anak jati Kota Belud itu telah menewaskan 10 pesaing pada pertandingan akhir, meninggalkan Dmitry Shaytan dari Rusia di tempat kedua, manakala tempat ketiga dikongsi bersama Cindy Gilbert dari Amerika Syarikat dan David Gibson dari United Kingdom .

Sirhajwan adalah wakil tunggal dari Asia yang berada dalam senarai 10 finalis, guru lain ialah dari AS, UK, Rusia, Jerman, Kanada, Denmark dan Colombia.

Anugerah berkenaan menilai 29 penyertaan terbaik dari seluruh dunia, hanya 15 peserta telah diundang menghantar penyertaan penuh bagi memilih 10 terbaik.

Program bertaraf antarabangsa itu anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI), organisasi berpangkalan di London yang mengendalikan perhimpunan penyelidik akademik antarabangsa dan menggalakkan penyelidikan akademik cemerlang melalui penerbitan.

Sementara itu, Sirhajwan ketika ditemui berkata, inovasi dihasilkannya adalah projek berasaskan pembelajaran untuk menggalakkan pelajar menceburi inovasi dan keusahawanan.

Katanya, kejayaan itu melayakkannya menerima sijil dan keahlian International Society for Professional Innovation Management (ISPIM) selama setahun, sekali gus dapat menyertai program organisasi itu di Melbourne, Australia dan Boston, Amerika Syarikat dalam tempoh berkenaan.

Beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada ayahnya, Idek Asal dan ibu, Bintek Abdul Rahman serta semua ahli keluarga yang memberi dorongan.

“Alhamdulillah kejayaan ini hadir pada 1 Muharram 1439 Hijrah, tahun yang amat penting dalam sejarah umat Islam. Ia permulaan baik bagi saya untuk berhijrah melakukan lebih baik demi agama, negara dan bangsa saya Sama/Bajau),” katanya.

Ini adalah kejayaan keempat bagi Sirhajwan di peringkat global sepanjang tahun ini dan tahun lalu.

Tiga lagi anugerah diraihnya adalah biasiswa ‘Macmillan English’ anjuran Macmillan Education Teachers at the Heart di UK pada 2016, biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing 2017 dan antara 50 finalis Hadiah Guru Global 2017.