KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membangunkan infrastruktur Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW), iaitu yang terbesar di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata infrastruktur baharu syarikat utiliti itu yang disasar untuk menambah baik kecekapan bekalan elektrik di pantai timur Sabah akan dibangunkan di Lahad Datu.
Katanya, SESB sudah menerima Letter of Notification (LoN) daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi melaksanakan projek yang pertama seumpamanya di Sabah itu.
“Kepercayaan yang diberi pihak ECoS dan Kerajaan Negeri Sabah kepada SESB untuk melaksanakan projek BESS ini akan digalas dengan penuh tanggungjawab dan sepenuh usaha bagi memastikan projek ini berjaya ditenagakan mengikut tempoh yang disasarkan.
“Dengan keupayaan maksimum kapasiti simpanan tenaga sebanyak 400MWj, projek ini bakal menjadi sistem BESS terbesar di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek itu akan meningkatkan kapasiti rizab margin Grid Sabah pada waktu puncak dan menyokong penambahan kapasiti sumber tenaga solar berskala besar (LSS).
Katanya, pembinaan infrastruktur BESS itu dijadual bermula pada bulan ini dan siap pada 30 Jun tahun depan.
Mohd Yaakob berkata, minggu lalu beliau mengadakan lawatan ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Jalan Dam, Lahad Datu bagi meninjau projek menaik taraf fasiliti itu kepada 275 kilovolt (kV) untuk dijadikan titik suntikan BESS.
“Projek ini akan dapat meningkatkan kestabilan kapasiti penjanaan Grid Sabah, di samping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis