KOTA KINABALU: Tiga individu cedera selepas diserang sekumpulan memerang ketika melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park, di sini pagi tadi.
Dua mangsa wanita dan lelaki dewasa cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala akibat digigit haiwan liar berkenaan, kira-kira jam 6.30 pagi.
Difahamkan ketika kejadian, seorang mangsa wanita sedang berjoging sebelum diserang kumpulan memerang terbabit.
Beberapa individu yang melihat kejadian itu segera membantu namun turut diserang dan dua lagi cedera.
Saksi kejadian, Nadirah Hashim, 36, berkata ketika sedang berjoging, dia terdengar jeritan orang meminta tolong.
“Saya dengan beberapa individu lain yang sedang berjoging kemudian bergegas untuk melihat apa yang berlaku.
“Ketika itu, seorang wanita digigit memerang dan empat individu lain kemudian membantu menghalau binatang berkenaan.
“Namun dua daripada mereka turut diserang memerang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, salah seorang yang membantu kemudian berjaya menghalau binatang berkenaan sebelum menghubungi ambulans untuk bantuan kerana keadaan mangsa yang diserang memerang agak teruk.
“Salah seorang mangsa cedera termasuk di bahagian kepala, lengan kiri dan kanan.
“Mangsa bersama dua lagi yang cedera kemudian dibawa ke HQE untuk rawatan lanjut,” katanya. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis