SITUASI COVID-19 BUKAN HANYA MENGENAI JUMLAH KES

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi menasihatkan orang awam supaya tidak menilai situasi COVID-19 berdasarkan jumlah kes sahaja, sebaliknya perlu melihat kepada risiko transmisi wabak berkenaan.

Dengan membandingkan kes COVID-19 di Tawau dan Kota Kinabalu, Christina berkata situasi kedua-dua daerah itu yang masing-masing mencatat 79 dan 39 kes adalah berbeza.

“Kira-kira 95 peratus kes di Tawau tertumpu kepada kluster tabligh, manakala di Kota Kinabalu hanya 62 peratus kluster tabligh dan 25 peratus adalah kes sporadik.

“Pengurusan kes sporadik lebih mencabar untuk mengenal pasti punca jangkitan dan memerlukan aktiviti kawalan lebih luas. Justeru, penting untuk mengamalkan langkah pencegahan dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Christina berkata pasukan khas Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu telah memproses 5,007 sampel pengesanan COVID-19 yang tertunggak dalam tempoh dua hari selepas pasukan khas itu diaktifkan pada 8 April.

Beliau berkata jumlah itu melebihi sasaran awal 4,600 sampel tertunggak yang diproses dalam masa 48 jam.

Mengulas perkembangan COVID-19 di Sabah, Dr Christina berkata terdapat 14 kes baharu dilaporkan semalam melibatkan lapan kes di Tawau, Kota Kinabalu (dua) dan masing-masing satu kes di Lahad Datu, Tuaran, Penampang serta Keningau.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 280 kes setakat semalam, katanya./BERITA SABAH